Kes pertama Covid-19 dikesan di kem pelarian Rohingya


Pakar perubatan sebelum ini memberi amaran virus Covid-19 boleh menular di kem pelarian yang sesak di Cox's Bazar. – Gambar EPA, 15 Mei, 2020.

KES pertama jangkitan Covid-19 dikesan di kem yang menempatkan hampir sejuta pelarian Rohingya di Bangladesh selepas seorang lelaki diuji positif, kata pihak berkuasa semalam.

Pakar perubatan sebelum ini memberi amaran virus maut itu boleh menular di kem pelarian yang sesak di Cox’s Bazar yang menjadi tempat perlindungan etnik yang melarikan diri dari Myanmar akibat serangan tentera sejak lebih dua tahun lalu.

Penyelaras kesihatan tempatan, Abu Toha Bhuiyan sebelum ini berkata dua pelarian telah diasingkan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kemudian berkata seorang daripada dua pelarian yang diasingkan itu adalah lelaki Rohingya, manakala seorang lagi adalah rakyat tempatan yang tinggal berdekatan kem dan menerima rawatan di sebuah klinik.

“Seorang pesakit adalah pelarian, seorang lagi duduk penduduk di kawasan berdekatan kem,” kata jurucakap WHO, Catalin Bercaru.

Menurut Bercaru, pasukan kesihatan telah dihantar susulan dua kes itu dilaporkan. Kontak rapat pesakit juga dikesan untuk diuji dan diasingkan.

Awal bulan lalu, pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung di sekitar Cox’s Bazar yang mempunyai 3.4 juta penduduk termasuk pelarian, selepas beberapa kes Covid-19 dilaporkan.

Bangladesh menyekat semua lalu lintas masuk dan keluar dari kem pelarian serta mengarahkan agensi bantuan mengurangkan anggota mereka sehingga 80 peratus untuk membendung wabak.

Namun, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat yang melawat kem pelarian itu berkata virus Covid-19 hanya menunggu masa untuk menular.

“Kem pelarian sangat padat. Virus akan merebak dengan cepat di sana, malang sekali,” kata Duta AS untuk Kebebasan Beragama Antarabangsa Sam Brownback. – AFP, 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen