Penduduk Wuhan jalani ujian Covid-19 semula


Petugas perubatan melakukan ujian swab untuk mengesan jangkitan Covid-19 kepada seorang penduduk di Wuhan semalam. – Gambar AFP, 15 Mei, 2020.

PENDUDUK di seluruh Wuhan semalam menjalani ujian Covid-19 susulan satu kluster baharu dikesan di bandar yang menjadi pusat pandemik itu di China.

Mereka berbaris panjang sambil menetapkan jarak sosial, menunggu giliran di khemah ujian yang didirikan di tempat letak kereta, taman dan kawasan perumahan di bandar yang mempunyai 11 juta penduduk itu.

“Ini adalah perkara yang baik. Cara untuk bertanggungjawab kepada orang lain dan diri sendiri,” kata seorang lelaki berusia 40 tahun kepada AFP selepas selesai jalani ujian semalam.

Lelaki itu sudah diuji sepuluh hari sebelumnya, tetapi oleh Covid-19 mula dikesan di Wuhan dan bandar itu paling teruk dilanda wabak itu di China, dia mahukan lebih kepastian.

“Jika anda diberi peluang, anda tentu mahu lakukan sekali lagi, bukan?” tambahnya.

Wabak Covid-19 mula menular pada hujung tahun lalu, mendorong kerajaan China melaksanakan perintah berkurung di Wuhan pada 23 Disember. Perintah itu mewajibkan penduduk duduk di rumah dan menjadikan pusat perindustrian dan pengangkutan itu sunyi sepi.

Menurut angka rasmi kerajaan, lebih 3,800 orang maut akibat Covid-19 di Wuhan.

Perintah berkurung ditarik semula pada awal April dan penduduk kembali kepada kehidupan normal secara beransur-ansur.

Bagaimanapun, selepas lebih sebulan tiada jangkitan baharu dilaporkan, beberapa kes dikesan hujung minggu lalu.

Susulan itu, pihak berkuasa mula melancarkan ujian pengesanan di seluruh Wuhan kerana bimbang virus itu kembali menular.

Petugas perubatan memakai pakaian perlindungan diri merekod maklumat peribadi setiap penduduk sebelum melakukan ujian swab. – AFP, 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen