PANIK dan takut kini menyelubungi pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mendorong gabungan politik itu menyekat sesi Parlimen pertama tahun ini pada 18 Mei dan memendekkan jadual kepada setengah hari seterusnya tidak membenarkan perbahasan dasar, kata penganalisis dan kumpulan masyarakat sivil.
Ketakutan sekiranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan dengan usul tidak percaya jelas dapat dilihat, kata mereka.
Walaupun mendakwa memiliki sokongan 114 daripada 222 ahli parlimen, pimpinan empat kerusi PN terhadap pembangkang tipis dan masih tidak pasti dan persidangan yang dipendekkan dapat memberi peluang untuk membeli masa bagi mengumpulkan jumlah tersebut.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight alasan rasmi yang diberikan untuk keputusan ini - bahawa negara masih dalam proses pulih daripada pandemik Covid-19 - adalah tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.
Ini kerana kerajaan PN telah membenarkan kebanyakan perniagaan dibuka semula pada 4 Mei termasuk pusat membeli-belah dan restoran, kata mereka.
Ahli politik veteran Lim Kit Siang juga mempertikaikan alasan rasmi Putrajaya pada 17 April, ketika PN pertama kali mengumumkan tarikh dan format persidangan, kenaikan kes Covid-19 harian adalah tiga digit.
“Ketika Muhyiddin menulis surat kepada Speaker pada 12 Mei untuk memendekkan persidangan pertama, kes-kes baharu menurun menjadi antara 16 dan 70 kes.
“Pandemi Covid-19 bukan sebabnya (pendekkan sidang) tetapi perdana menteri sebenarnya panik atas usul tidak percaya yang menjadi sebab sidang parlimen dipendekkan pada 18 Mei,” kata Lim, yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri.
Lim merujuk kepada usul tidak percaya yang dikemukakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan yang diterima Dewan Rakyat.
Usul itu adalah bagi menentang dakwaan Muhyiddin bahawa beliau mendapat sokongan majoriti 222 ahli Dewan Rakyat.
“Tetapi reaksi Muhyddin yang panik menunjukkan bahawa ketika ini dia tidak memiliki majoriti untuk bertahan berdepan usul tidak percaya Dr Mahathir,” kata Lim. – 15 Mei 2020.
Komen