PANDANGAN yang percaya bahawa pertanian adalah aktiviti yang memerlukan kawasan tanah besar jelas semakin tidak tepat ketika pertanian dalam bandar semakin menjadi pilihan penduduk bandar di Malaysia.
Di tengah-tengah Kuala Lumpur, Wong Min Lik adalah pengasas bersama Moutou Art Space di bumbung bangunan di Lorong Panggong.
Wong yang berusia 35 tahun berkata bumbung itu adalah kawasan tidak digunakan sebelum mereka mengambil alihnya Disember tahun lepas. Kini, ia mempunyai sebuah bar dan kebun atas bumbung yang dipenuhi dengan sayur-sayuran segar dan herba seperti serai, halia, pudina, lemon, buah markisa dan peria.
“Ini kali pertama kami cuba (berkebun). Ini adalah pengalaman baru, mewujudkan sebuah kebun di kawasan bandar,” kata Wong yang tidak pernah mempunyai pengalaman berkebun sebelum ini.
Karyawan sepenuh masa itu berkata idea untuk memiliki kebun sendiri timbul kerana wujudnya kebimbangan pencemaran racun perosak dalam sumber makanannya.
Wong berkata hasil tanaman kebun itu buat masa sekarang hanya untuk kegunaan sendiri, tetapi mereka ada rancangan untuk mengedarkannya ke komuniti sekitar kawasan itu.
“Kami harap untuk mempengaruhi orang lain buat perkara sama, kerana lebih ramai orang sertai inisiatif ini lebih baik untuk alam sekitar,” katanya.
Minat bercambah
CityFarm Malaysia, sebuah syarikat yang mengkhususkan kepada pertanian vertikal dan dalam bangunan menggunakan kaedah hidroponik, mengatakan permintaan untuk kit hidroponik meningkat hampir 10 kali ganda sejak syarikat itu mula dilancarkan setahun lalu.
Dikendalikan tiga graduan kejuruteraan - Looi Choon Beng, Johanson Chew dan Jayden Koay - CityFarm terhasil kerana hobi mereka bertiga, yang menjual kit mereka serendah RM13.90 bagi kit permulaan sehinggalah mencecah ribuan ringgit untuk kit yang lebih canggih.
Looi, 28, berkata minat awam yang semakin meningkat kepada pertanian dalam bandar mungkin disebabkan kesedaran kesihatan yang semakin tinggi serta kebimbangan tentang kekurangan bekalan makanan di masa depan disebabkan pertambahan penduduk dunia.
“Semua faktor ini akan menyumbang kepada peningkatan keperluan pertanian dalam bandar. Pertanian dalam bandar menggalakkan penggunaan tanah semaksimum mungkin.
“Ini akan membantu kemandirian dunia di masa depan. Seseorang perlu bertindak sekarang, jika tidak kita tidak akan bersedia berdepan krisis yang mungkin berlaku di masa depan,” katanya menambah yang syarikat itu juga menyediakan kursus pertanian dalam bandar untuk mendidik orang awam.

Bagi menangani kekurangan ruang dan tanah di bandar, Plant Cartridge muncul dengan kaedah bijak bagi penduduk bandar mempunyai kebun tanpa perlu mempunyai tanah.
Syarikat itu muncul dengan kartrij yang bertindak sebagai perantara untuk benih tumbuh. Asasnya, seseorang hanya perlu menyiram kartrij itu yang mengandungi nutrien dan benih, dan tunggu dan lihat sahaja “kebun” mereka tumbuh.
“Tanah hanya ada tiga peranan iaitu memegang akar supaya pokok tak jatuh, mengekalkan air dan menyimpan bakteria yang memberikan mineral kepada pokok,” kata CEOnya Channing Liang.
“Jika anda gantikan ketiga-tiga peranan ini, anda tak perlukan tanah, anda boleh guna apa sahaja,” kata Liang kepada The Malaysian Insight.
Kelangsungan makanan
Sementara itu, perunding alam sekitar, Eats, Shoots and Roots percaya walaupun pertanian dalam bandar adalah tren yang mencuri perhatian penduduk bandar, tren ini akan terus kekal.
Kunci untuk terus mengekalkan minat orang awam adalah pendidikan dan sokongan, dan kumpulan itu bukan hanya menyediakan kursus perkebunan dan bengkel untuk mendidik orang awam menggunakan alam sekitar dengan baik, mereka juga membantu membina kebun bagi mereka yang tinggal di ruang terhad di bandar.
Pengarah Strategi Beatrice Yong berkata mereka sudah membina 30 hingga 35 kebun sejak 2012.
“Saya rasa makanan memainkan peranan sangat besar untuk menjaga keluarga dengan baik, jadi anda boleh nampak orang mengubah laman mereka kepada kebun,” kata Yong.
Yong yang menanam bayam, keledek, cili dan terung di kebunnya berkata, mempunyai kebun peribadi di rumah bukan hanya dapat memastikan sayuran itu selamat dimakan tetapi juga menjimatkan.
“Saya rasa ia (pertanian dalam bandar) adalah trend tetapi ia tidak akan hilang dalam masa terdekat.
“Ia akan jadi keperluan di masa depan disebabkan peningkatan harga hasil tanian dan faktor lain seperti kebimbangan kesihatan jadi orang akan lebih gemar menanam di kebun mereka sendiri,” katanya. – 26 November, 2017.
Komen