Ujian Covid-19 fokus pada 8 kumpulan sasar, kata KP Kesihatan 


Noel Achariam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerin kini memfokuskan untuk menjalankan ujian terhadap kumpulan sasar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan memfokuskan kepada lapan kumpulan sasar untuk menjalankan ujian saringan Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata, buat masa ini 45 makmal di seluruh negara menjalankan ujian berkenaan.

Lapan kumpulan terbabit adalah kluster Seri Petaling, Madrasah dan sekolah tahfiz, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, pasar basah, petugas kesihatan, mereka yang pulang dari luar negara, pekerja asing dan warga emas.

“Kita memfokuskan untuk menjalankan ujian ke atas kumpulan sasar. Jadi, kita telah mengenal pasti lapan kumpulan.

“Kapasiti buat masa ini adalah 26,673 ujian boleh dijalankan.

“Semalam, 25,106 sampel (94%) telah diuji. Apa yang lebih penting adalah kita mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Sementara itu 70 pesakit Covid-19 pulih dan didiscaj dari hospital, melebihi jumlah kes baharu yang dilaporkan iaitu 40 kes.

Menurutnya, 5,351 telah pulih daripada virus itu manakala jumlah kumulatif kes adalah 6,819.

Beliau berkata, daripada 40 kes baharu, 31 melibatkan warga asing manakala selebihnya adalah warga tempatan.

Katanya, satu kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 112.– 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen