RAKYAT akan menganggap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin enggan berhadapan dengan pembangkang, setelah sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini dipendekkan lagi tempohnya terhad untuk titah diraja sahaja, kata ahli Parlimen pembangkang.
Pemimpin Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan berkata Parlimen sepatutnya memainkan peranan sebagai “wahana suara rakyat” dan “tiang seri demokrasi”.
Arahan Muhyiddin itu, selaku ketua majlis mesyuarat di Dewan Rakyat, amat dikesali dan cukup mendukacitakan, kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
“Ini juga merupakan kali pertama dalam sejarah lebih enam dekad Parlimen Malaysia di mana sebuah majlis mesyuarat berjalan tanpa sidang penuh.
“Tindakan ini semestinya akan dilihat oleh rakyat sebagai keengganan Perdana Menteri berhadapan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang,” kata mereka.
Kenyataan dikeluarkan bersama oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR, dan dua pemimpin komponen PH iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Dr Mahathir Mohamad menyertai mereka sebagai pengerusi Bersatu dan Mohd Shafie Apdal sebagai presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).
Dalam kenyataan sama, mereka merakamkan rasa terkejut dengan pertukaran Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat, yang kebetulan berlaku sehari selepas notis perubahan agenda untuk persidangan pada 18 Mei dikeluarkan kepada semua ahli Parlimen.
Notis perubahan agenda itu ditandatangani oleh Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.
“Tindakan ini amat membimbangkan kerana menimbulkan persepsi wujud pengaruh tidak wajar oleh pihak-pihak tertentu terhadap institusi Parlimen,” kata mereka, sambil mengingatkan ia berlaku lima hari sebelum Parlimen akan mendengar Titah Diraja.
Lima pemimpin pembangkang itu bagaimanapun berkata apa yang berlaku ini tidak akan menjejaskan usaha mereka mengembalikan mandat rakyat, selepas pertukaran kerajaan pada hujung Februari lalu. – 14 Mei, 2020.
Komen