MASJID dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat dan solat berjemaah mulai esok, termasuk solat tarawih dan solat Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama Dr Zulkifli Mohamad.
Ia bagaimanapun terhad untuk jemaah tidak melebihi 30 orang, katanya, sementara masjid dan surau yang dibuka semula turut dikenakan syarat ketat mematuhi tatacara pencegahan penyakit berjangkit Covid-19.
“Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengeluarkan garis panduan yang lebih terperinci untuk makluman pihak jawatankuasa kariah masjid, surau jumaat dan surau-surau terpilih serta umat Islam di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Zulkifli hanya mengumumkan keputusan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan, sementara negeri-negeri akan diumumkan oleh pihak berkuasa agama masing-masing.
Setakat petang ini, tiga negeri iaitu Perlis, Johor, dan Selangor sudah mengumumkan membuka semula masjid untuk solat Jumaat bermula esok namun terhad melibatkan 12 jemaah terdiri dalam kalangan pegawai masjid.
Zulkifli juga mengingatkan kebenaran yang diberikan itu perlu disertakan dengan kawalan oleh pihak berkuasa agama dan pihak polis bagi mengawal keadaan.
Katanya, perkara itu sudah dipersetujui oleh Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
Syarat untuk jemaah, masjid
Zulkifli turut mengumumkan beberapa syarat yang ditetapkan kepada pihak pengurusan masjid dan surau, antaranya menyediakan kaunter di pintu masuk bagi menghadkan bilangan jemaah dan pemeriksaan suhu badan.
Pihak pengurusan masjid dan surau juga wajib menyediakan sanitasi tangan serta merekodkan setiap kehadiran jemaah.
“Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wudhu’ sebelum dan selepas solat,” katanya.
Bagi jemaah pula, mereka perlu mematuhi peraturan datang ke masjid dengan membawa kad pengenalan, sejadah sendiri, dan siap-siap berwuduk sebelum ke masjid.
“Jika gagal (membawa kad pengenalan diri), ahli jemaah harus diarah pulang,” kata Zulkifli.
“Cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal.
“Jemaah yang mengidap penyakit kronik, warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid,” tambahnya.
Jemaah juga disyaratkan menjaga jarak semasa di dalam dan di luar masjid pada jarak satu meter antara satu sama lain, memakai topeng muka, dan tidak boleh berkumpul.
“Jemaah perlu terus bersurai dalam keadaan tenang dan tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat samada di dalam atau di luar masjid,” katanya.
Pintu masjid juga dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan.
Pihak berkuasa agama di semua negeri mengarahkan masjid ditutup untuk solat jemaah dan solat Jumaat pada minggu kedua Mac, ketika gelombang kedua jangkitan Covid-19 mula merebak.
Putrajaya selepas itu mengisytiharkan seluruh Malaysia sebagai kawasan penyakit berjangkit dan melaksanakan sekatan pergerakan bagi pencegahan dan pengawalannya.
Perintah kawalan pergerakan yang bermula pada 18 Mac itu kini dilanjutkan sehingga 9 Jun, namun sudah mula dilonggarkan sejak 4 Mei. – 14 Mei, 2020.
Komen