PERIKATAN Nasional (PN) tidak tergesa-gesa untuk mendaftar sebagai sebuah entiti politik, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa.
Beliau berkata terdapat perbincangan berterusan berhubung perkara itu namun setakat ini PN adalah gabungan harmoni yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan negara pada waktu kritikal ini.
PN terdiri daripada Bersatu, PAS dan BN, dan disokong oleh parti pemerintah Sarawak GPS.
Annuar juga berkata, buat masa ini, mustahil untk mereka mendaftarkan Pn sebagai entiti politik kerana terdapat proses yang perlu diikuti sebelum boleh didaftarkan.
“Keputusan tidak boleh dibuat oleh pimpinan tertinggi sahaja tetapi turut melibatkan semua peringkat hierarki parti sebelum meneruskan pendaftaran,” katanya yang juga menteri Wilayah Persekutuan.
“Bagaimanapun, kita perlu ingat ia adalah proses yang lama kerana setiap parti ada prosedurnya sendiri,” katanya.
Kerajaan PN dibentuk selepas ia mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen pada Mac lalu, susulan kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan.
Sebelum ini, Umno yang merupakan parti utama dalam BN berkata, gabungan PN hanyalah sementara kerana ada parti yang memutuskan untuk bersama sekutu lain pada piihan raya umum akan datang.
Tahun lalu, Umno dan PAS membentuk kerjasama di bawah Muafakat Nasional. – 14 Mei, 2020.
Komen