MENTERI Besar Johor Hasni Mohammad menyeru semua wakil rakyat di negeri itu supaya patuh dan mengambil serius titah Sultan Johor yang tidak mahu ada mana-mana pihak menyebarkan virus perpecahan semata-mata kerana kepentingan politik peribadi.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah demikian semasa membuka persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini, yang berlangsung di tengah-tengah pergeseran antara Perikatan Nasional yang memerintah dan Pakatan Harapan yang baru terlepas kuasa.
Kata Hasni, baik sebagai kerajaan atau pembangkang, wakil rakyat memikul amanah membantu rakyat ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Tuanku mengingatkan kita bahawa sekarang bukan masa bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari kepentingan peribadi atau pengaruh politik kerana tindakan sebegini akan lahirkan virus yang lebih bahaya iaitu virus perpecahan.
“Virus ini mudah merebak melalui saluran media sosial yang bebas, dengan dibantu oleh ejen media dan cyber trooper yang menjadi batu api membangkitkan isu sensasi, untuk menambah api kebencian dalam kalangan pemimpin politik dengan rakyat,” katanya, memetik titah Tuanku, pada sidang media selepas persidangan DUN Johor pagi tadi.
Sidang DUN Johor hari ini jadi perhatian selepas sidang DUN di Melaka dan Perak, yang juga bertukar kerajaan sejak Mac lalu, kecoh dengan tindakan menggantikan speaker.
Pada masa sama, PH juga didakwa merancang membuat usul tidak percaya terhadap Hasni.
Sidang DUN Johor hari ini, yang dihadiri semua wakil rakyat termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Adun Gambir, hanya mendengar titah tuanku.
Speaker Suhaizan Kayat menangguhkan sidang DUN selepas titah tuanku selesai, kira-kira 25 selepas sidang bermula. – 14 Mei, 2020.
Komen