Trump mahu sekolah dibuka, Fauci kata nanti dulu


Presiden AS) Donald Trump semalam terus tidak sehaluan dengan penasihat kesihatan White House Dr Anthony Fauci mengenai langkah melonggarkan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 14 Mei, 2020.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam terus tidak sehaluan dengan penasihat kesihatan White House Dr Anthony Fauci mengenai langkah melonggarkan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, kali ini mengenai sama ada mahu sekolah dibuka semula atau ditutup.

Isu pembukaan semula sekolah dan universiti menjadi titik mula perselisihan pendirian antara White House dan pakar perubatan berkenaan hal-hal berkaitan pembukaan semula ekonomi.

Trump berkata amaran Fauci supaya berjaga-jaga selepas White House bercadang untuk buka semula ekonomi “tidak dapat diterima”.

“Kita mahu buka negara, rakyat mahukannya, sekolah akan dibuka,” kata presiden itu kepada pemberita di White House.

Fauci ketika pada Selasa lalu memberitahu Kongres keputusan menarik semula perintah berkurung terlalu awal akan mendatangkan kesan yang sangat serius.

“Risiko ini benar dan anda akan mencetuskan wabak yang mungkin tidak akan dapat dikawal,” kata pakar penyakit berjangkit yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Amaran Fauci itu jelas bertentangan dengan gesaan Trump supaya lebih mengutamakan pembukaan semula ekonomi AS ketika ini. 

Fauci berkata jika perintah berkurung terlalu cepat ditamatkan boleh menyebabkan wabak Covid-19 menular semula malah menjejaskan usaha memulihkan ekonomi negara. 

“Kita perlu buka semula sekolah.

“Kita mahu lakukannya dengan berhati-hati, tetapi pada masa yang sama secepat yang mungkin. Kita tidak boleh terus begini. Keadaan sudah kecoh di jalanan.

“Saya sama sekali tidak setuju dengan pendapat Fauci,” kata Trump. – AFP, 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen