AS tuduh China cuba curi data kajian vaksin Covid-19


FBI dan Keselamatan Siber AS memberi amaran kumpulan penggodam berkaitan kerajaan China sedang cuba untuk mendapatkan maklumat dan harta intelek mengenai rawatan dan ujian untuk Covid-19. – Gambar EPA, 14 Mei, 2020.

PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam memberi amaran cubaan penggodam China mencuri data penyelidikan mengenai rawatan dan vaksin Covid-19 akan memburukkan lagi perang antara dua negara berkenaan pandemik itu.

Pakar Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Keselamatan Siber AS berkata organisasi yang menjalankan penyelidikan berisiko menjadi sasaran penggodam dari China.

Mereka memberi amaran kumpulan penggodam berkaitan kerajaan China sedang cuba untuk mendapatkan maklumat dan harta intelek mengenai rawatan dan ujian untuk Covid-19.

“Tindakan ini akan memberi ancaman besar terhadap usaha kita terhadap Covid-19,” kata FBI dan Keselamatan Siber AS.

Dua agensi itu bagaimanapun tidak memberikan bukti bagi menyokong tuduhan.

Amaran tersebut akan memburukkan lagi perang antara dua kuasa besar dunia itu mengenai virus yang mula dikesan di China pada Disember tahun lalu. Sehingga kini, lebih 294,000 orang maut akibat Covid-19 di seluruh dunia. Di AS sahaja, virus itu telah meragut 83,000 nyawa.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini menuduh kerajaan China menyembunyikan asal-usul Covid-19 selain mendakwa Beijing enggan bekerjasama dalam usaha menyelidik dan memerangi virus itu.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa AS percaya penggodam China cuba mencuri data vaksin Covid-19, Trump berkata: “Apa yang hendak dihairankan dengan China?... Saya tidak gembira mengenainya.” – AFP, 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen