Covid-19 tidak akan hilang, kata WHO


WHO memberi amaran langkah melonggarkan perintah sekatan pergerakan berisiko mencetus gelombang kedua jangkitan. – Gambar AFP, 14 Mei, 2020.

COVID-19 akan kekal dan penduduk di seluruh dunia harus belajar hidup bersama virus itu, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam.

Ketika beberapa negara mula melonggarkan perintah sekatan pergerakan sebagai usaha membendung jangkitan, WHO berkata Covid-19 mungkin tidak akan hilang sepenuhnya.

Virus itu mula dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lalu. Sejak itu lebih 4.3 juta orang telah dijangkiti, manakala hampir 300,000 maut seluruh dunia.

“Kita ada virus baharu yang menjangkiti populasi manusia. Tterlalu awal untuk meramalkan bila kita akan dapat menanganinya,” kata Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO Michael Ryan.

“Virus ini mungkin menjadi satu lagi penyakit endemik dalam masyarakat kita dan ia tidak akan hilang,” kata pertubuhan itu dalam sidang media secara maya di Geneva.

“HIV masih belum hilang, tetapi kita memahami virus itu.”

Covid-19 menyebabkan banyak negara melaksanakan perintah berkurung untuk memutuskan rantaian jangkitan.

Bagaimanapun, WHO memberi amaran langkah melonggarkan perintah itu berisiko mencetus gelombang kedua jangkitan.

“Banyak negara ingin keluar daripada wabak ini dengan cara yang berbeza.

“Kami tetap menyarankan setiap negara perlu berjaga-jaga,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Tambah Ryan, mengembalikan semula kehidupan normal memerlukan proses yang sangat panjang.

“Covid-19 ini sangat menguji kita, menyerlah sisi terbaik dan terburuk kita,” katanya.

Beliau juga berkata usaha menghasilkan vaksin Covid-19 adalah peluang untuk maju ke depan dalam mencari penawar untuk merawat manusia di seluruh dunia. – AFP, 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen