'Pertama kali' dalam sidang sehari Dewan Rakyat


Mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 pada Isnin depan hanya untuk mendengar Titah Diraja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

DEWAN Rakyat akan bersidang sehari Isnin depan, 18 Mei.

Ia merupakan sidang pertama bagi tahun ini dan selepas pergolakan politik pada hujung Februari yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih rakyat pada 2018.

Walaupun beberapa kali digesa agar sidang lebih panjang atau diadakan secara maya seperti yang dilakukan Parlimen negara lain semasa krisis pandemik Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap dengan keputusan mereka.

Sidang sehari itu pula akan hanya untuk mendengar Titah Diraja.

Mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 itu juga tidak akan mendengar urusan kerajaan berhubung pakej rangsangan menangani Covid-19. 

Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat dalam sepucuk surat kepada semua ahli Parlimen semalam berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan kepada Parlimen bahawa sidang pada 18 Mei ini dipinda hanya untuk titah diraja kerana penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

Sidang Dewan kemudian akan ditangguhkan sehingga Julai.

Sidang sehari ini memberi gambaran situasi politik di Malaysia bahawa kerajaan PN mengelak keabsahannya dicabar di Parlimen. Ia juga pertama kali berlaku dalam badan perundangan negara. 

Sidang sehari ini memberi gambaran bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin mengelak keabsahannya dicabar di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

Antara “pertama kali” lain termasuklah:

1. Pertama kali Dewan Rakyat bersidang sehari. 

Dalam sejarah Parlimen, ia hanya digantung sekali iaitu selepas rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969. Parlimen digantung kerana berlaku darurat ketika itu.

Bagi menggantikan Parlimen, Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan. Walaupun pilihan raya umum diadakan pada 10 Mei 1969, Parlimen hanya bersidang semula pada 20 Februari 1971.

2. Pertama kali ahli Parlimen dari parti pemerintah (Bersatu) akan duduk di kedua-dua blok yang bertentangan.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga presiden Bersatu dan ahli Parlimen Langkawi, telahpun memberi isyarat akan duduk di blok pembangkang.

Ahli-ahli Parlimen yang menyokong beliau berkemungkinan akan mengambil tindakan serupa.

Ia bagaimanapun akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof kerana secara tradisinya ahli Parlimen dari parti pemerintah duduk di blok kerajaan.

3. Jika ini berlaku, pertama kalinya juga Dr Mahathir, 94, duduk di blok pembangkang sejak beliau mula jadi ahli Parlimen pada 25 April 1964. Beliau juga akan jadi bekas perdana menteri kedua duduk di kerusi pembangkang selepas Najib Razak (Pekan).

4. Sidang pada 18 Mei ini juga akan menyaksikan blok pembangkang terbesar Dewan Rakyat. Ahli Parlimen blok kerajaan terdiri daripada Barisan Nasional (42), Bersatu (31), PAS (18), Gabungan Parti Sarawak (18), Gabungan Sabah (3) dan dua Bebas.

Pembangkang pula terdiri daripada Pakatan Harapan (92), Parti Warisan Sabah (9), kumpulan Dr Mahathir (5), Upko (1) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) (1).

5. Tujuh bekas timbalan perdana menteri akan sertai sidang kali ini iaitu Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, Najib, Muhyiddin, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

6. Pada sidang sehari itu juga usul undi tidak percaya Dr Mahathir terhadap Muhyiddin tidak akan dibahaskan.

Ini susulan pengumuman setiausaha Dewan Rakyat semalam bahawa sidang hanya dihadkan untuk titah ucapan diraja.

Bukan pertama kali usul undi tidak percaya terhadap seorang perdana menteri dibawa ke Dewan Rakyat.

Usul juga pernah dikemukakan terhadap Hussein Onn oleh senator dari partinya sendiri, Umno, ketika beliau dilantik sebagai perdana menteri ketiga pada 1975.

Begitu Dr Wan Azizah dan bekas ahli Parlimen PJ Selatan Hee Loy Sian, yang mengemukakan usul tidak percaya terhadap Najib pada 2015. Usul itu bagaimanapun gagal.

7. Pada sidang 18 Mei ini juga buat pertama kali media dilarang membuat liputan kecuali media kerajaan iaitu Bernama dan RTM, atas alasan penjarakan sosial untuk membendung jangkitan Covid-19. Arahan itu mengundang kritikan dari pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil kerana menyekat tugas media. – 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen