23 Adun serah SD sokong menteri besar baharu kepada Sultan Kedah


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dipetik berkata yang 23 daripada 36 Adun sudah menyatakan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Mukhriz Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

HAMPIR dua pertiga wakil rakyat Kedah menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang menyatakan sokongan kepada menteri besar baharu, lapor The Star Online.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dipetik berkata yang 23 daripada 36 Adun sudah menyatakan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Mukhriz Mahathir.

“Saya berada dalam mesyuarat bersama Sultan dan tiga Presiden – Muhyiddin Yassin (Bersatu), Ahmad Zahid Hamidi (Umno) dan Abdul Hadi Awang (PAS),” katanya dipetik berkata.

“Mereka memaklumkan Sultan yang ketiga-tiga parti bersetuju (dengan) calon yang dinamakan 23 SD patut menggantikan Mukhriz sebagai MB Kedah.

“Mesyuarat berjalan lancar dan sultan menerima SD tersebut.”

Beberapa jam sebelum itu, Mukhriz memberitahu wartawan yang kedudukannya sebagai MB sepatutnya ditentukan DUN dan bukannya SD Adun.

Timbalan presiden Bersatu itu juga berkata exco kerajaan negeri hari ini akan mencadangkan kepada Sultan supaya isu itu diselesaikan ketika persidangan DUN, kerana ia “kaedah lebih telus” berbanding SD sokongan Adun.

“Jika pembangkang merasakan tidak ada kepercayaan lagi terhadap menteri besar, mereka boleh bentangkan usul di DUN,” katanya.

Sehingga ia dibuat, katanya, beliau masih lagi MB Kedah.

Dua Adun PKR dan empat Adun Bersatu semalam mengumumkan mereka sudah hilang percaya kepada Mukhriz, tindakan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan Kedah.

Enam Adun tersebut bersama-sama 15 Adun PAS dan dua Adun Umno membentuk majoriti Perikatan Nasional dalam DUN Kedah. – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen