Pelajar Sabah positif mungkin dijangkiti daripada pekerja universiti, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Terdapat dua kes pelajar Sabah dari Semenanjung yang positif Covid-19 dan siasatan sedang giat dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

DUA pelajar dari Sabah yang disahkan positif Covid-19 ketika berada di Semenanjung mungkin dijangkiti daripada pekerja di universiti mereka, kata Kementerian Kesihatan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun tidak menjelaskan butiran isu itu. 

Beliau berkata demikian ketika mengesahkan kejadian dua pelajar yang pulang ke Sabah dari Semenanjung disahkan positif Covid-19.

Katanya lagi, kedua-dua mereka sudah diasingkan dan dikuarantin.

“Apa yang perlu dibuat adalah pengesanan kes aktif di mana Kementerian Kesihatan akan jalankan siasatan.

“Kami sudah kenal pasti universiti dan lakukan ujian.

“Walaupun mereka sudah dikuarantin selama empat minggu, mereka boleh terdedah kepada pekerja yang keluar masuk universiti,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Pada 11 Mei lalu, Sabah melaporkan 10 kes baharu, dua daripada adalah kes pelajar universiti yang kembali ke negeri itu dari Semenanjung.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi berkata terdapat dua kes baharu melibatkan pelajar universiti awam di negeri itu.

Katanya, kes itu dikesan daripada ujian dijalankan ke atas pelajar berdasarkan prosedur operasi standard (SPO) Pengurusan Pergerakan Pelajar Sabah dikendalikan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“SOP dibuat untuk operasi program khas susulan keputusan membenarkan pelajar di institusi pendidikan kembali ke kampung masing-masing.

“Dijangkakan 7,000 pelajar akan pulang ke rumah. Ini bermaksud akan terdapat pergerakan besar-besaran pelajar daripada zon merah ke zon hijau dan kuning.” – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen