PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikembalikan sekiranya nilai R-naught (R0) atau kebolehjangkitan Covid-19 yang kini pada 0.3, meningkat lebih daripada 1.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, R0, atau jumlah jangkitan daripada satu kes indeks, berada pada tahap 3.5 pada permulaan PKP.
“R0 berjaya dikurangkan kepada 0.3, yang mana ia berikutan langkah positif oleh kerajaan.
“Bagaimanapun, sekiranya rakyat tidak patuh atau enggan mematuhi garis panduan, maka R0 akan meningkat,” katanya pada sidang media harian situasi Covid-19 di Putrajaya hari ini.
R0 digunakan untuk mengukur kebolehjangkitan wabak yang mana ia menyasarkan untuk mencapai bawah 1.
R0 4 contohnya, bermakna seseorang individu yang dijangkiti Covid-19 boleh menyebabkan empat individu lain dijangkiti virus itu.
Dr Noor Hisham berkata R0 boleh dikurangkan sekiranya rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Beliau mengaitkan penurunan kadar R0 dengan pelonggaran PKP yang dibuat secara berperingkat.
“Selepas itu, bagi memastikan nilai R0 tetap kurang dari satu, penjarakan sosial sangat penting.
“Semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan untuk mengekang penularan Covid-19. Ini boleh dilakukan dengan mengambil langkah pencegahan yang disyorkan kementerian, khususnya dengan mematuhi SOP,” katanya.
Menurutnya, perhimpunan sosial dan aktiviti yang membawa kepada risiko jangkitan masih dilarang.
“Kementerian turut menasihatkan orang awam agar mengelakkan kawasan yang padat, ruang terhad serta bercakap pada jarak yang dekat.
“Sekiranya semua orang, termasuk peniaga, majikan, pekerja dan orang awam mematuhi SOP PKP yang ditetapkan kerajaan, maka R0 akan terus turun dan wabak Covid-19 akan berakhir.” – 13 Mei, 2020.
Komen