AHLI Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman, yang kini dilantik sebagai pengerusi kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, merupakan ahli Parlimen Perikatan Nasional terbaharu yang dilantik untuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Lembaga pengarahnya dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu berkuatkuasa pada 11 Mei.
Tajuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menggantikan bekas hakim Malaya, Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei.
“Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan Kumpulan Prasarana mempunyai keyakinan penuh atas kewibawaan dan ketokohan YB Dato’ Sri Haji Tajuddin untuk memacu program transformasi sistem pengangkutan awam negara dan memartabatkan perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia yang berkelas dunia, yang diamanahkan kepada kami,” menurut lembaga pengarah.
Pihaknya turut berterima kasih kepada Zaharah di atas khidmatnya kepada syarikat.
Tajuddin yang juga bekas pengerusi Felcra, turut memegang jawatan sebagai pengarah urusan kumpulan United Assembly (Services) Sdn Bhd, United Straits Fuso Sdn Bhd, Automotive Corporation ( M ) Sdn Bhd dan United Cycles Sdn Bhd.
Antara jawatan korporat lain termasuk pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Asia Brands Corp Bhd dan Maju Perak Holdings Berhad.
Termasuk Tajuddin, kini terdapat 16 ahli Parlimen yang dilantik untuk menerajui GLC dan badan berkanun.
Setakat ini, mereka yang dilantk termasuk lapan ahli Parlimen Umno, empat dari PAS dan tiga dari Gabungan Parti Sarawak (GPS). – 13 Mei, 2020.
Komen