881 maut akibat Covid-19 di Brazil dalam 24 jam


Brazil mencatat angka kematian terbaharu akibat Covid-19 tertinggi iaitu 881 kes dalam tempoh 24 jam semalam. – Gambar AFP, 13 Mei, 2020.

BRAZIL mencatat angka kematian terbaharu akibat Covid-19 tertinggi dalam tempoh 24 jam iaitu sebanyak 881 kes, kata Kementerian Kesihatan negara itu semalam.

Brazil adalah  negara Amerika Latin yang paling teruk terjejas akibat pandemik itu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di Brazil kini mencecah 12,400 daripada 177,589 kes jangkitan. 

Ini seterusnya menjadikan Brazil negara keenam paling teruk terjejas di belakang Amerika Syarikat (AS), Britain, Itali, Perancis dan Sepanyol.

“Sudah tentu, peningkatan kes (di Brazil) beberapa hari kebelakangan ini begitu membimbangkan,” kata ketua jabatan penyakit berjangkit di Pan American Health Organization, Marcos Espinal, semasa taklimat di Washington.

Pakar berkata jumlah sebenar kes mungkin jauh lebih tinggi.

“Brazil hanya menguji mereka yang dirawat di hospital,” kata Domingo Alves, salah seorang penulis bagi kajian yang diterbitkan minggu lepas. Kajian menganggarkan jumlah sebenar kes di negara itu 15 kali lebih tinggi daripada angka rasmi. – AFP, 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen