ARAB Saudi akan menguatkuasakan perintah berkurung 24 jam selama lima hari semasa cuti Aidilfitri untuk membendung penularan jangkitan Covid-19, susulan peningkatan kes baharu virus itu.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri negara itu semalam.
Jumlah kes Covid-19 di Arab Saudi adalah yang tertinggi dalam kalangan negara Teluk Arab.
Perintah berkurung akan dikuatkuasakan semula mulai 23 hingga 27 Mei, menurut kenyataan kementerian yang dikeluarkan Saudi Press Agency.
Kebanyakan tempat di negara itu diletakkan di bawah perintah berkurung 24 jam sejak kes Covid-19 menular, tetapi sejak bulan lalu kerajaan melonggarkan had sekatan kepada antara 9 pagi hingga 5 petang.
Pusat beli belah dan kedai dibenarkan dibuka semula kecuali beberapa kawasan yang merekod jumlah kes yang tinggi termasuk Mekah.
Kementerian Dalam Negeri semalam juga berkata angka kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 264 dan 42,925 kes jangkitan disahkan.
Seramai 15,257 pulih sepenuhnya.
Kerajaan Arab Saudi pada Mac menggantung ibadah umrah susulan kebimbangan mengenai wabak itu tersebar ke bandar suci Islam.
Pihak berkuasa masih belum membuat keputusan sama ada ibadah haji, yang dijadualkan pada hujung Julai, juga akan digantung. – AFP, 13 Mei, 2020.
Komen