BERSATU terpaksa melepaskan teraju kepimpinan di Kedah dan Johor sebagai percaturan untuk Muhyiddin Yassin kekal memegang jawatan perdana menteri dengan sokongan Umno, kata penganalisis politik.
Ini jelas apabila Bersatu menyerahkan jawatan menteri besar di Johor kepada Umno, kata mereka.
Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi memberitahu The Malaysian Insight, walaupun Bersatu akan terlepas Kedah kepada PAS, Muhyiddin mendapat kekuatan dengan melemahkan kubu kuat dan pengaruh Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz Mahathir di negeri itu.
“Ini berlaku ketika Mukhriz akan melawan jawatan presiden dan bersaing kuasa dengan Muhyiddin.
“Dr Mahathir pula cuba mengemukakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri,” katanya.
Ini dicapai melalui gerakan politik melibatkan dua penyokong bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di Kedah.
Pentadbiran Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah dijangka bertukar selepas dua wakil rakyat PKR letak jawatan, iaitu Azman Nasruddin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), semalam.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mempunyai 36 kerusi, dengan PKR kini tinggal 5 kerusi sementara Amanah 4, dan DAP 2.
Empat daripada enam Adun Bersatu semalam juga dilaporkan tidak lagi menyokong Mukhriz sebagai menteri besar.
PAS yang mempunyai 15 kerusi dan Umno 2 kerusi memerlukan sekurang-kurangnya dua kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan.

Walaupun Bersatu hilang penguasaan di Johor dan Kedah, Muhyiddin berjaya meraih sokongan dari Umno dan PAS, kata Awang Azman.
Katanya, ini tidak memberikan kepentingan kepada Bersatu secara jangka panjang dan menyeluruh kerana hilang tapak di Johor yang terpaksa dikompromikan demi Perikatan Nasional dan Muhyiddin jadi perdana menteri.
“Bersatu di Kedah juga akan menjadi lemah.
“Jika ini terus berlaku, maka hayat politik Bersatu akan sesingkat Parti Semangat 46 kerana elit politik gagal mengurus parti dengan baik demi mencapai matlamat jangka masa pendek,” kata pensyarah di Akademi Pengajian Melayu itu.
Untuk beberapa tahun akan datang, beliau menambah, Bersatu akan terpaksa akur mengikut rentak Umno untuk terus bernyawa, tambahnya.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar pula memberitahu The Malaysian Insight, Muhyiddin kelihatan mengukuhkan kedudukannya dalam Bersatu dengan melemahkan Dr Mahathir dan Mukhriz.
“Menjelang pemilihan parti, tidak mustahil kedua-dua mereka akan dipecat,” katanya.
“Pada masa ini, beliau mendapat sokongan majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dengan tambahan daripada fraksi Azmin yang baru menyertai parti.
“Jika sokongan kepada Mukhriz merosot, ia semestinya memberi kelebihan kepada Muhyiddin,” katanya.
Menurut Azlan, Dr Mahathir dan Mukhriz akan berdepan jalan sukar untuk mengatasi Muhyiddin sekiranya mereka tersingkir.
Jelasnya, beliau tidak terkejut apabila Muhyiddin terpaksa melepaskan Melaka, Johor, dan Kedah.
“Beliau terpaksa juga bersetuju untuk melantik ahli Parlimen yang bersama kepimpinannya mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi penting kerajaan.
“Ini penting untuk mengukuhkan sokongan ke atasnya dalam mengimbangi tekanan daripada Umno.”
Bersatu kini tinggal menguasai Perak, selepas menyerahkan tampuk pentadbiran Johor kepada Barisan Nasional susulan kemelut politik pada hujung Februari lalu, dan dijangka melepaskan Kedah kepada PAS minggu ini.
Bersatu bagaimanapun kekal memegang tampuk kuasa di Perak selepas membentuk kerajaan negeri bersama BN dan PAS, dengan Ahmad Faizal Azumu kekal sebagai menteri besar. – 13 Mei, 2020.
Komen