Belaga diancam banjir akibat hujan lebat, empangan Bakun


Desmond Davidson

Bandar Belaga terletak di hujung Sungai Rajang yang didiami kebanyakan masyarakat Orang Ulu diancam banjir berikutan hujan lebat dan air empangan Bakun dilepaskan. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

HUJAN lebat selama empat hari, serentak dengan air dari empangan hidroelektrik Bakun dilepaskan, menyebabkan penempatan penduduk di kawasan rendah sepanjang tebing Sungai Rajang diancam banjir, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana, malam tadi.

Kawasan paling terancam ialah daerah Belaga, di mana bandarnya terletak di hujung sungai terpanjang negara itu.

Belaga, di mana penduduknya adalah kebanyakan masyarakat Orang Ulu, terletak 120km dari Kapit.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata paras air di sungai itu naik dengan pantas pada Isnin dan semalam apabila air empangan dilepaskan ketika hujan lebat “atas alasan keselamatan”.

Air yang melimpah dari Sungai Rajang membanjiri kawasan kampung dan penempatan di sepanjang tebing.

Antara penempatan yang terancam dengan peningkatan paras air sungai ialah Punan Ba.

Jawatankuasa itu melaporkan walaupun paras air naik deras pada pagi semalam, tidak ada satu rumah pun yang banjir.

Air mulai surut petang semalam.

Empangan Bakun yang menjana 2,400 megawatts elektrik, terletak kira-kira 60km dari Belaga di Sungai Balui, di anak sungai Rajang – antara empangan hidroelektrik tebesar negeri ini.

Dengan ketinggian puncak 235 meter pada paras laut, paras maksimum banjir empangan itu ialah 232 meter.

Kawasan takungan airnya seluas 695 km persegi dan boleh menakung 43,800 juta meter kubik air. – 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen