Covid-19 ragut 290,000 nyawa di seluruh dunia


Hospital sementara dibuka dengan 437 katil untuk pesakit Covid-19 di pusat konvensyen Walter E di Washington, DC. AS merekodkan jumlah tertinggi di dunia dengan 81,650 kematian. – Gambar AFP, 13 Mei, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA 289,138 kematian akibat Covid-19 dilaporkan sejak epidemik itu muncul kali pertama di China hujung tahun lalu.

Terdapat lebih 4,226,110 kes dilaporkan di 195 negara dan wilayah.

Amerika Syarikat (AS) merekodkan kematian tertinggi 81,650. Diikuti dengan Britain (32,692), Itali (30,911), Perancis (26,991) dan Sepanyol (26,920).

Kes di Rusia meningkat, kini kedua tertinggi di dunia

Ketika ia mula melonggarkan perintah berkurung, Rusia menjadi negara kedua di dunia dengan jumlah kes jangkitan tertinggi, lebih 232,000.

Langkah berkurung kekal di kebanyakan tempat di negara itu, termasuk Moscow yang paling teruk terjejas dan dikenakan perintah berkurung hingga hujung Mei.

Antara jangkitan baharu membabitkan jurucakap President Vladimir Putin, iaitu Dmitry Peskov yang diuji positif virus itu.

Wuhan rancang ujian besar-besaran

Wuhan di China, tempat pertama virus itu muncul, merancang untuk menjalankan ujian terhadap semua populasinya iaitu 11 juta orang selepas kes baharu dikesan kali pertama dalam tempoh berminggu-minggu.

Pelan rangsangan India

Perdana Menteri India Narendra Modi mengumumkan pakej rangsangan ekonomi untuk melonjak pertumbuhan ekonomik dalam keadaan pandemik.

Menyelamatkan cuti musim panas Eropah

Kesatuan Eropah akan membentangkan syor untuk menyelamatkan sektor pelancongan Eropah, termasuk menggesa negara EU membuka semula sempadan secara berperingkat.

Sekolah dibuka semula di Perancis

Ribuan sekolah rendah dan tadika dibuka semula di seluruh Perancis apabila kerajaan melonggarkan perintah berkurung akibat koronavirus, walaupun ada yang bimbang dengan jangkitan gelombang kedua.

Guru memakai topeng dan kerusi murid diasingkan untuk mengelak penularan virus itu.

Kuarantin, berkurung

Mereka yang tiba di Sepanyol akan berdepan kuarantin wajib 14 hari, kata kerajaan, berkuatkuasa pada Jumaat ini hingga 24 Mei.

Algeria melanjutkan langkah berkurung hingga 29 Mei, selepas Ramadan.

Langgar perintah penjarakan sosial, cuci tandas!

Rakyat Indonesia yang degil dan melanggar perintah arahan penjarakan sosial di Jakarta akan dikenakan hukuman mencuci tandas. Dan itu adalah antara senarai hukuman ditetapkan kerajaan dalam usaha memerangi jangkitan koronavirus. – AFP, 13 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen