MYEG Services Bhd yang hari ini mengumumkan dirinya selaku portal sehenti majikan menjalankan saringan Covid-19 untuk pekerja mereka tidak pernah dilantik untuk tugas itu, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kami tak pernah melantik MyEG dan semua pelantikan vendor perlu melalui proses sepatutnya.
“Saya sudah meminta pasukan audit siasat,” kata Ketua Jabatan Perubatan dan Pemulihan Perkeso Dr Azlan Darus kepada The Malaysian Insight.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba juga memberitahu The Malaysian Insight yang pelantikan itu belum diluluskan.
“Tak. Tak lulus,” katanya ringkas menerusi WhatsApp.
MyEG dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia hari ini berkata ia menawarkan portal sehenti yang memudahkan majikan di Malaysia menguruskan proses saringan Covid-19 untuk pekerja mereka.
Buat masa sekarang, majikan yang berdaftar sebagai pencarum Perkeso layak memohon Program Saringan Prihatin yang membolehkan kos saringan Covid-19 untuk pekerja mereka ditanggung kerajaan.
MyEG berkata ia akan menawarkan perkhidmatan bermula saringan sehinggalah pensijilan yang pekerja sudah menjalani ujian Covid-19.
Pengerusi Eksekutif MYEG Dr Norraesah Mohamad berkata kenyataan lanjut mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan. – 12 Mei, 2020.
Komen