Pakatan yakin kembali terajui Johor, kata Adun Paloh


Diyana Ibrahim

PH akan kembali mentadbir di Johor kerana gabungan itu lebih stabil berbanding Perikatan Nasional yang berdepan krisis dalaman, antara Umno dan Bersatu, kata Adun Paloh Sheikh Omar Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.

PAKATAN Harapan akan mengambil alih pentadbiran Johor tetapi bukan dengan memaksa satu pilihan raya negeri diadakan sekarang, ketika semua pihak sedang fokus melawan Covid-19, kata Adun Paloh Sheikh Omar Ali dari DAP.

Beliau yakin PH akan kembali mentadbir di Johor kerana gabungan itu lebih stabil berbanding Perikatan Nasional yang berdepan krisis dalaman, antara Umno dan Bersatu.

Sheikh Omar, yang juga bekas exco pentadbiran PH, bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagaimana PH boleh jadi kerajaan semula di Johor sebaliknya berkata “tunggu dan lihat”.

“PH dalam mesyuarat minggu lalu ada buat kenyataan tidak akan buat gerakan yang boleh beri kesan DUN ini terbubar kerana sedar pada saat wabak ini, ia bukan menjadi perkara keutamaan,” katanya dalam satu diskusi yang disiarkan secara langsung di Facebook Johorkini, hari ini.

Diskusi itu bertajuk Persidangan DUN Johor: Kerajaan PN Bagai Telur Di Hujung Tanduk.

Jelas Sheikh Omar, kedudukan kerajaan negeri di Johor bergantung pada jumlah kerusi yang dimiliki antara PH dan PN, yang dibezakan dengan dua kerusi.

“Jadi adakah akan ada berlaku undi tidak percaya kepada menteri besar, adakah ia dilakukan secara sulit atau terbuka, kita tunggulah 14 haribulan,” katanya, merujuk pada sidang DUN, Khamis ini.

Semalam, Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat dipetik berkata sidang dewan pada Khamis ini akan berjalan tanpa kejadian luar biasa kerana semua Adun menghormati Sultan Ibrahim Sultan Ismail, lapor Malaysia Kini.

Portal itu melaporkan spekulasi ada usaha menyingkirkan Suhaizan sebagai speaker, menurut sumber Bersatu.

Pada masa sama, PH juga didakwa merancang membuat usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Menurut Suhaizan, beliau mungkin akan mempertimbangkan permintaan Adun PN dan PH untuk melanjutkan sesi sidang DUN.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan dilucutkan jawatan, sama seperti yang berlaku di DUN Melaka semalam.

Semalam, DUN Melaka melantik Ab Rauf Yusoh sebagai speaker baharu menggantikan Omar Jaafar, speaker yang dilantik semasa pentadbiran PH, biarpun persidangan telah ditangguhkan.

Adun PH menolak pelantikan itu dan dijangka mencabarnya di mahkamah.

Pada masa ini, PN menguasai 29 daripada 56 kerusi di DUN Johor selepas Bersatu membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional, sementara baki 27 kerusi dipegang oleh PH. – 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen