17 pelajar sekelas bila sekolah mula dibuka, kata menteri


Maksimum hanya 17 pelajar dibenarkan berada dalam satu kelas sekiranya sekolah mula dibuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.

JUMLAH maksimum pelajar sekelas apabila sekolah mula dibuka kelak adalah seramai 16 atau 17 orang sahaja, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Angka itu diputuskan daripada kajian dijalankan KKM bagi menentukan jumlah ideal pelajar sekelas bagi memastikan penjarakan sosial berlaku dengan berkesan, katanya dipetik Berita Harian.

Kelas yang lebih besar pula dibenarkan menempatkan 20 orang pelajar.

Radzi berkata, jumlah pelajar sekelas adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) pendidikan bagi mencegah penularan Covid-19 apabila sekolah mula dibuka.

“Ini bermakna, jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua.

“Selain itu, kita perlu melihat bagaimana nak jalankan pengajaran dalam dua kelas ini atau kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh.”

Katanya, KKM juga mengkaji beberapa kaedah bagaimana pelajar boleh kembali bersekolah tanpa mengabaikan keselamatan mereka.

Jelasnya lagi, penjarakan sosial juga akan diamalkan di kantin sekolah.

Misalnya, makanan akan dibungkus dan garis panduan akan dikeluarkan tentang masa dan tempat pelajar makan.

Pelajar Tingkatan Lima dan Enam dijangka menjadi kumpulan pertama kembali ke sekolah, katanya. – 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen