Kerajaan pertahan serbuan ke atas Pati ketika PKP 


Alfian Z.M. Tahir

Sebahagian daripada pendatang asing ditahan ketika serbuan dijalankan oleh Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur semalam.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Mei, 2020.

PUTRAJAYA mempertahankan serbuan yang dijalankan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika pandemik Covid-19, dan menyatakan penahanan dibuat mengikut undang-undang.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi berkenaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen adalah perkara biasa.

“Operasi ini bukan sahaja dijalankan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja. Malah sebelum PKP, operasi yang sama turut dijalankan.

“Apabila PKP tamat, pihak berkuasa masih menjalankan serbuan. Ia tiada kaitan dengan PKP.

“Saya percaya setiap negara di dunia melakukan amalan yang sama, dan kita bertindak menurut undang-undang,” katanya pada sidang media harian situasi keselamatan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian susulan operasi yang dijalankan di utara Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, yang mana ia menjadi tempat pendatang asing dan pelarian bekerja dan tinggal.

Ia merupakan susulan daripada serbuan terhadap Pati di Menara City One di ibu negara pada 1 Mei, dan satu lagi operasi di Selangor Mansion dua hari kemudian.

Bangunan ini diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan selepas kes koronavirus dikesan.

Kerajaan menerima kritikan berikutan serbuan itu, kerana pada awal penguatkuasaan PKP pada 18 Mac, kerajaan berjanji untuk tidak menahan pendatang haram dan menggalakkan mereka tampil menjalani ujian saringan Covid-19.

Kumpulan hak asasi pendatang asing Tenaganita menggesa Putrajaya agar tidak menjalankan serbuan.

“Pendatang asing tidak dapat bekerja dan mendapatkan wang kerana pandemik, dan sekarang mereka ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen,” kata pengarahnya Aegile Fernandez kepada The Malaysian Insight sebelum ini.

Malah terdapat aduan tiada penjarakan sosial diamalkan ketika serbuan sebelum ini, namun menurut pihak berkuasa, kesemua mereka yang ditahan telah menjalani ujian saringan Covid-19. – 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen