Pemimpin dahulu selalunya “hanya bernostalgia” dan merasakan hanya zaman pentadbiran mereka yang terbaik, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dalam serangan sinis yang dipercayai ditujukan kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kita boleh menghargai, selain mengenang pengorbanan tokoh yang dahulu, jangan dilupai yang kita berpijak di bumi yang nyata,” katanya pada perhimpunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Petaling Jaya hari ini.
“Jangan bila kita jadi pengasas GPMS, bila orang lain ambil alih, seolah-olah zamannya sahaja yang baik, zaman ini tidak baik,” kata Zahid kepada ratusan pelajar yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan GPMS Ke-63.
Zahid yang juga merupakan naib presiden Umno walaupun tanpa menyebut nama Dr Mahathir dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri itu yang merupakan penaung GPMS ketika berkuasa dahulu.
“Kita menghormati yang lama tetapi yang lama mesti menyayangi yang baru. Apabila ada orang yang ambil alih, seolah-olah zamannya sahaja yang baik, zaman ini tidak baik. Jangan ada sikap begitu.
“Saya tidak menyebut ini sama ada mahu menyentuh tokoh yang masih hidup atau masih mati,” kata Zahid yang disambut gelak tawa peserta.
“Apa yang ingin saya maksudkan kita boleh bernostalgia. Kita boleh bermelankolik. Tetapi realitinya harus kita terjemahkan bahawa agenda kita selain daripada mengenang dan menghargai pemimpin, tokoh dan pencapaian yang terdahulu. Kita jangan melupai kita berpijak di bumi nyata.
“Kerana ada orang yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Kerana ada orang yang tidak melihat langit yang kita junjung, mereka hanya melihat bintang di langit tetapi tidak melihat rumput di bumi.”
Zahid menambah yang perjuangan oleh pelajar dan orang Melayu tidak boleh disalah anggap sebagai perkauman.
“Memperjuangkan agenda orang Melayu bukan bererti kebencian yang mendalam kepada orang bukan Melayu. Menterjemahkan agenda pendidikan Melayu bukan bererti GPMS membenci sistem pendidikan lain,” katanya.
Zahid kemudiannya mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk GPMS, menambah yang beliau akan mempertimbangkan gesaan persatuan pelajar itu untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Nasional yang akan menentukan dasar pendidikan untuk diikuti oleh menteri pendidikan.
Sebelum itu, Presiden GPMS Zambri Mohd Isa menyifatkan DAP sebagai “kurang ajar” kerana pendirian anti kerajaan dan menyalahkan parti komponen pembangkang itu kerana mencetuskan rusuhan 13 Mei.
Beliau mendesak tindakan diambil ke atas ahli parti itu, desakan yang disusuli dengan laungan “tangkap mereka” oleh sebahagian peserta yang hadir.
Zambri sebelum ini turut menyerang Dr Mahathir.
Pada September lalu, beliau dipetik berkata oleh Utusan Malaysia yang negarawan berusia 93 tahun itu “memutar belit” fakta untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak.
“Beliau kritik pertemuan Najib de¬ngan Presiden AS, Donald Trump tetapi Dr. Mahathir sendiri berhabis jutaan ringgit membayar pelobi untuk bertemu Bush. Beliau bukan hanya hipokrit, malah pakar putar belit juga,” kata Zambri.
“Sebab itu beliau cuba menimbulkan perkara yang tidak benar, untuk menakutkan-menakutkan orang ramai. Saya berharap rakyat tidak terpengaruh dengan sikap hipokrit serta putar belit Dr. Mahathir ini,” katanya lagi seperti dipetik akhbar Utusan.
Ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, setiausaha agung GPMS ketika itu, Syed Anuar Syed Mohamad meluahkan kebanggan kerana pencapaian Dr Mahathir menaikkan nama “bangsa Malaysia” terutama sekali dalam bidang pendidikan seperti dilaporkan Bernama.
Dalam kenyataan bertarikh 8 Oktober 2003 itu, tiga hari sebelum Dr Mahathir berundur, Syed Anuar memuji dasar meritokrasi Dr Mahathir dan menambah penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains berjaya dilakukan walaupun pada awalnya menerima kritikan.
“GPMS yakin dan percaya, pelaksanaan SMI sepertimana pelaksanaan dasar-dasar lain yang diperkenalkan oleh beliau akan membuahkan hasil walaupun ketika itu Dr Mahathir bukan lagi menjadi perdana menteri,” – 25 November, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan