Ngeh letak jawatan, Perak lantik speaker DUN baharu


Perikatan Nasional melantik Adun Kamunting Mohammad Zahir Abdul Khalid sebagai speaker DUN Perak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.

PERAK akan mempunyai speaker Dewan Undangan Negeri baharu, perkembangan terkini selepas berlaku perubahan kerajaan Persekutuan awal Mac lalu.

Adun Beruas Ngeh Koo Ham (DAP) hari ini memberi ucapan tentang tadbir urus baik dan kedaulatan undang-undang di DUN sebelum mengumumkan berundur, lapor media.

Ngeh berkata beliau mahu mengosongkan kerusi speaker menerusi kaedah yang sesuai dan bukannya “kerana ancaman”.

Beliau merujuk kepada cubaan membentangkan usul mendesaknya meletak jawatan di DUN.

Cubaan dibuat Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu itu menyebabkan wakil rakyat Perikatan Nasional mendesak Ngeh berundur tetapi ditentang wakil rakyat pembangkang.

Ngeh enggan tunduk kepada desakan, berkata beliau akan berundur dengan cara baik.

PN yang terdiri daripada Umno, Bersatu dan PAS mempunyai majoriti kerusi di Perak iaitu sebanyak 32 dengan sokongan tiga wakil rakyat Bebas.

Pakatan Harapan pula mempunyai 24 kerusi dalam DUN 59 kerusi itu.

Selepas meletak jawatan, Ngeh menangguhkan sidang dan meninggalkan DUN diikuti semua wakil rakyat pembangkang.

Faizal berkata sidang itu tidak ditangguhkan kerana tiada usul diluluskan.

Wakil rakyat PN melantik Adun Sg Manik Zainol Fadzi Paharudin sebagai speaker sementara dan DUN yang tidak dihadiri Adun PH melantik Adun Kamunting Mohammad Zahir Abdul Khalid sebagai speaker.

Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya dilantik sebagai timbalan speaker. – 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen