Shafie jangan hanya cakap perjuang hak orang Kristian, kata Dompok


Jason Santos

Bernard Dompok berkata sumbangannya terhadap orang Kristian diberikan sejak lama sebelum Shafe dilantik menjadi menteri persekutuan ketika beliau masih di dalam Umno. – Gambar YouTube, 25 November, 2017.

PRESIDEN Parti Warisan Sabah Shafie Apdal jangan hanya tahu cakap sahaja atau akan digelar “munafik” dalam memperjuangkan hak orang-orang Kristian, kata Bernard Dompok.

Bekas ahli politik Sabah itu terkejut apabila namanya diheret dalam senarai pemimpin Kristian yang tidak bersuara untuk orang Kristian, Dompok mencabar Shafie supaya berpegang kepada janjinya dalam mempertahankan hak-hak orang Kristian.

Dompok yang merupakan ‘Resident Ambassador to the Holy See’ Malaysia pertama berkata Shafie telah berikrar akan mempertahankan kesucian agama Kristian menurut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan adalah sekular serta membenarkan kebebasan beragama.

“Saya sangat terkejut bila Shafie panggil saya munafik, memandangkan dia tahu saya sudah beberapa tahun meletakkan jawatan sebagai presiden Upko (United Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Organisation).

“Tetapi anda tidak menjadi munafik hanya sebab beberapa ahli politik yang bercita-cita tinggi cakap begitu.

Menurut Dompok, Shafie boleh membuktikan yang beliau bersungguh-sungguh sekiranya dapat menyelesaikan isu MyKad dan sijil kelahiran di Sabah kerana ramai rakyat Sabah tidak bersetuju dengan status “Islam” pada bahagian butiran.

“Memandangkan Perlembagaan membenarkan kebebasan beragama, mana-mana rakyat Malaysia harus bebas memilih agama pilihannya.

“Sepatutnya terpulang kepada orang itu untuk menentukan agamanya atau sama ada dia benar-benar mahu beragama,” kata Dompok. Tambahnya lagi, kepercayaan agama adalah soal peribadi antara individu dan Tuhannya.

Dompok mengulas selepas terdapat banyak kes melibatkan rakyat Sabah memeluk agama Islam secara beramai-ramai dijalankan di kawasan luar bandar.

Terdapat juga kanak-kanak sekolah di bawah 18 tahun yang memeluk Islam.

“Ada juga isu lain seperti penggunaan kalimah ‘Allah’ yang saya bangkitkan semasa menjadi ahli politik dan menteri kabinet.

“Saya berharap Shafie akan teruskan walaupun selepas pilihan raya,” katanya.

Pada 19 November lalu, Shafie menamakan Dompok dan beberapa ahli Parlimen Kristian Sabah sebagai  munafik yang hanya memperjuangkan agama di kawasan mereka tetapi tidak di Parlimen.

Beliau juga berkata mereka tidak berbuat apa-apa atau bersuara mengenai kerjasama Umno-PAS dan apabila Umno membenarkan PAS membentang undang-undang Hudud.

Dompok percaya Shafie sedar akan sumbangannya kepada orang Kristian sebelum bersara dari politik pada 2014.

Dompok berkata beliau telah membangkitkan banyak isu, sebahagian dalam Majlis Tertinggi Barisan Nasional dan ada yang diajukan terus kepada perdana menteri dan menteri-menteri lain semasa beliau masih menjadi menteri kabinet.

Malah sumbangannya diberikan lama sebelum Shafe dilantik menjadi menteri persekutuan ketika beliau masih di dalam Umno.

Mengenai Hudud, Dompok berkata beliau tidak dimaklumkan dengan jelas tetapi percaya semua pemimpin Kristian BN Sabah sudah menetapkan pendirian dalam menentang langkah yang diambil PAS. – 25 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen