ESOK, Tan Chong Lii akan bersama ribuan peguam di seluruh negara untuk membuka semula firmanya berikutan Malaysia melonggarkan sekatan tehadap penutupan pejabat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi menyekat penularan Covid-19.
Firma Tan berdepan pusat beli-belah GLO Damansara di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, dibuka bersama empat rakan kongsinya sejak tiga tahun lalu, mereka terpaksa beralih bekerja secara online hampir sepenuhnya.
Sepanjang tempoh PKP, pejabat mereka kekal ditutup untuk anak guam dan orang awam.
“Kami ambil masa antara sekarang hingga Rabu untuk memberi taklimat kepada rakan kerja berkenaan prosedur operasi standard (SOP) dan berikan mereka masa untuk biasa dengan SOP itu,” kata Tan.
“Peguam pindah hak kami dan pasukan sokongan sudah ke pejabat untuk menyiapkan beberapa dokumen untuk dihantar ke pejabat tanah, yang akan mula beroperasi tidak lama lagi.”
Persediaan lain termasuk melekatkan pita di lantai bagi memastikan penjarakan sosial untuk kedudukan staf dan pelawat.
Notis perlu ditampal di dalam dan luar pejabat untuk mengingatkan orang ramai tentang penjarakan sosial.

Firma itu juga perlu menyediakan borang dan kertas kerja bagi menyimpan rekod pemeriksaan suhu dan menyiapkan jadual untuk membahagikan peguam dan staf kepada dua kumpulan yang bergilir bekerja di rumah dan pejabat mengikut giliran minggu.
“Semua orang akan memakai topeng setiap masa,” kata Tan.
PKP dijadualkan hari ini tetapi kini digantikan dengan PKP bersyarat hingga 9 Jun, yang membenarkan lebih banyak sektor ekonomi membuka semula pejabat dan menyambung perniagaan. Namun, perhimpunan beramai-ramai masih dilarang.
Berdasarkan kepada pekeliling baharu dikeluarkan Majlis Peguam, cara operasi firma guaman akan berubah secara kekal, sekurang-kurangnya hingga vaksin koronavirus berjaya dihasilkan.
Pekeliling itu menyenaraikan garis panduan “perlu dilakukan” untuk firma guaman.
Firma guaman perlu melakukan saringan suhu badan kakitangan, anak guam dan sesiapa saja yang masuk ke pejabat setiap hari.
Mereka perlu menyimpan rekod bacaan suhu, bersama butiran peribadi, untuk tempoh enam bulan, Rekod itu perlu disimpan berasingan untuk kakitangan firma guaman dan anak guam atau lain-lain, menurut pekeliling itu.
Selain penggunaan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sanitasi premis, firma guaman digalakkan hanya menerima pelanggan menerusi temujanji saha dan memastikan ada jarak mencukupi bagi setiap temu janji, iaitu 15 minit. – 12 Mei, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen