Kes virus di Wuhan, Korea Selatan cetus kebimbangan gelombang ke-2


Orang ramai memakai topeng muka ketika menunggu kereta api di stesen bawah tanah di Seoul, Korea Selatan ketika kebimbangan penyebaran Covid-19 susulan kes baru membabitkan kelab malam di Seoul. – Gambar EPA, 12 Mei, 2020.

NEGARA di Eropah dan juga New York memulakan langkah pembukaan semula semalam selepas proses panjang pengurungan akibat koronavirus, tetapi kemunculan semula jangkitan di China dan Korea Selatan memberi amaran serius mengenai bahaya gelombang kedua.

Kesan yang pelbagai menggambarkan apa dihadapi kerajaan di seluruh dunia ketika berusaha menghidupkan kembali ekonomi yang hancur sambil terus mengawasi wabak yang kini membunuh lebih 283,000 orang dan menjangkiti lebih 4.1 juta penduduk dunia.

Ketika Perancis dan Sepanyol menikmati kebebasan baru dan Britain serta New York mengumumkan rancangan pembukaan semula sebahagian aktiviti ekonomi, bandar Wuhan di China tempat wabak muncul, melaporkan kes baru bagi hari kedua selepas sebulan tanpa sebarang gejala virus.

Korea Selatan pula mengumumkan jumlah jangkitan tertinggi selepas sebulan membabitkan kluster di daerah hiburan di Seoul.

Dengan jutaan orang hilang kerja dan ekonomi yang teruk, kerajaan terdesak untuk beroperasi semula tetapi kebanyakannya memilih pendekatan secara beransur-ansur kerana bimbang kebangkitan virus lebih besar.

Di beberapa tempat di Eropah, menunjukkan trend lebih baik dengan kematian harian di Sepanyol jatuh kepada 123 dan Itali - yang pernah menjadi pusat wabak di Eropah - melaporkan kurang 1,000 pesakit dalam rawatan intensif, paling rendah sejak 10 Mac sebelum kemuncak wabak.

Perancis menyaksikan kematian hariannya menurun selama beberapa hari tetapi melaporkan kenaikan semalam sebanyak 263 orang, ketika ia mulai menutup sebuah hospital tentera yang dibina untuk menerima pesakit rawatan intensif ketika hospital semakin sesak.

Kematian yang disahkan meningkat melebihi 80,000 di Amerika Syarikat, jauh lebih tinggi berbanding negara lain, menurut Universiti Johns Hopkins. – AFP, 12 Mei, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen