Tambang AirAsia mahal, dakwaan Bung Mokhtar disokong Adun Sabah


Jason Santos

Adun Matunggong, Jelani Hamdan menyokong dakwaan Adun Kinabatangan Bung Mokhtar Radin. – Gambar The Malaysian Insight, 25 November, 2017.

KETIKA AirAsia menafikan mereka mengenakan tambang mahal kepada penumpangnya, seorang ahli Dewan Undangan Negeri Sabah muncul dengan senarai tambang “melampau mahal” dikenakan syarikat penerbangan tambang murah itu.

Adun Matunggong, Jelani Hamdan menyokong dakwaan Adun Kinabatangan Bung Mokhtar Radin yang dengan tambang semahal itu, AirAsia patut memikirkan untuk mengugurkan tagline “syarikat tambang murahnya”.

“Nampaknya dakwaan Bung (Mokhtar) tentang syarikat penerbangan itu ada asasnya kerana AirAsia nampaknya terlebih caj penumpangnya, terutama dari Sabah.

“Harga yang dikenakan kepada penduduk Sabah sangat tinggi ketika ini,” katanya hari ini.

Beberapa keping “screenshot” disediakan Adun itu mengenai tambang syarikat penerbangan itu antara 25, 26, 27 November serta 3 Disember untuk perjalanan sehala dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur menunjukkan kebanyakkan berharga melebihi RM1,000 kecuali untuk Disember yang kini berharga lebih RM500 ketika ini.

Kadar itu dikenakan ketika musim persekolah mula bermula.

Semalam, Bung mempertahankan dakwaannya terhadap AirAsia yang dikatakan mengenakan bayaran penerbangan sehala mencecah RM 2,000 dari Sandakan ke Kota Kinabalu di Parlimen berlaku kepada salah seorang penduduk di kawasan diwakilinya, walaupun tambang sebenar adalah RM1,780.

Lapangan Terbang Sandakan terletak lebih 300km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dan kerana itu jaraknya lebih jauh dari KLIA.

“Selain AirAsia, tambang Malindo Air juga mahal dan tinggi bergantung kepada permintaan, bagaimanapun perkhidmatan penerbangan itu sentiasa penuh,” katanya.

Katanya sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan sendiri atau membuka laluan Kota Kinabalau kepada syarikat penerbangan lain.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar menafikan dakwaan Bung, mengatakan tambang tertinggi hanyalah sekitar RM1,180 apabila bergantung kepada faktor muatan 100%. – 25 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen