Korea Selatan tangguh buka sekolah selepas lonjakan kes Covid-19


Semua kelab malam dan bar di Seoul diarah tutup selepas lonjakan kes baru mencetus kebimbangan berlakunya gelombang kedua Covid-19 di Korea Selatan. – Gambar AFP, 12 Mei, 2020

KOREA Selatan menangguhkan cadangan membuka semula sekolah minggu ini selepas kes Covid-19 naik mendadak pada Isnin membabitkan kluster kelab malam di Seoul.

Negara itu dijadikan model global dalam mengekang virus tersebut, tetapi pada hujung minggu lalu, ibu negaranya serta wilayah Gyeonggi dan bandar Incheon berdekatan - diarah menutup semua kelab dan bar selepas lonjakan kes baru mencetuskan kebimbangan gelombang kedua.

Pihak berkuasa berusaha menjejak ribuan orang yang mengunjungi beberapa tempat di daerah hiburan Itaewon - termasuk beberapa kelab gay.

Ramai pengunjung dipercayai enggan tampil kerana stigma terhadap homoseksual.

Lonjakan itu terjadi ketika sebahagian Eropah mula membuka semula aktiviti dengan hati-hati, dengan pakar kesihatan memberi amaran langkah yang terlalu cepat akan mengakibatkan lonjakan jumlah jangkitan.

Pegawai Korea Selatan melaporkan 35 kes baru pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan 10,909, selepas mencatat kenaikan satu digit hanya selama lapan daripada 12 hari sebelumnya - kebanyakannya melibatkan mereka yang tiba dari luar negara.

Kini 86 kes dikaitkan dengan kluster kelab malam, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.

Ia pada mulanya dikatakan berpunca daripada oleh seorang lelaki berusia 29 tahun yang positif virus selepas mengunjungi lima kelab malam dan bar di Itaewon pada awal Mei.

Tetapi KCDC berkata terdapat banyak punca kluster itu, dengan pengarah Jeong Eun-kyeong memberitahu wartawan, orang ramai mengunjungi “pelbagai jenis kelab” pada “tarikh berbeza”.

“Majoriti pengunjung tidak dapat dihubungi,” kata Perdana Menteri Chung Sye-kyun.

“Sekiranya anda keberatan sehari, jam kita mungkin berhenti selama sebulan. Sila hubungi klinik atau pusat kesihatan terdekat sekarang.”

Isu privasi

Pihak berkuasa bandar juga menggesa sesiapa sahaja yang mengunjungi daerah itu selama dua minggu terakhir menjalani ujian.

Datuk Bandar Seoul Park Won-soon memberitahu stesen radio, beliau akan menjaga privasi mereka, tetapi ribuan orang dipercayai ragu-ragu kerana beberapa kelab adalah untuk komuniti LGBTQ.

Homoseksualiti tidak diharamkan di Korea Selatan, tetapi diskriminasi tetap berleluasa di kalangan masyarakat konservatif, kata kumpulan hak asasi.

Daegu, bandar keempat terbesar di Korea Selatan yang pernah menjadi pusat wabak, juga mengarahkan semua bar dan kelab malam ditutup pada Isnin.

Lonjakan jangkitan baru muncul ketika kehidupan harian di Korea Selatan mulai kembali normal, dengan kerajaan melonggarkan peraturan penjarakan sosial minggu lalu.

Kemunculan kluster itu mendorong kerajaan menangguhkan pembukaan semula sekolah selama seminggu, dengan para pelajar dijadualkan kembali ke kelas secara berperingkat mulai Rabu.

Wakil menteri pendidikan, Park Baeg-beom berkata penangguhan itu"tidak dapat dielakkan” untuk menjamin keselamatan pelajar.

Korea Selatan adalah negara terawal dilanda wabak penyakit terburuk di luar China, dan walaupun tidak pernah melakukan langkah pengurungan wajib, jarak sosial yang ketat dikenakan sejak Mac.

Tetapi ia dilihat berjaya mengawal wabak dengan program “jejak, uji dan rawat” yang mendapat pujian meluas.

Kemudahan seperti muzium dan gereja sudah dibuka semula dan beberapa sukan profesional - termasuk besbol dan bola sepak - sudah memulakan musim baru. – AFP, 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen