RAKYAT akan terbiasa dikongkong serta tunduk patuh pada perintah kerajaan selepas panemik Covid-19 ini berakhir, manakala amalan politik secara keseluruhannya juga akan berubah, kata ahli akademik.
Ahli politik pula berpandangan keadaan itu ditambah dengan suasana yang sedang berundur patah balik kepada keadaan seperti sebelum pilihan raya umum dua tahun lalu, ketika Umno menguasai kerajaan.
Pakar perlembagaan Faridah Jalil berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung Covid-19 secara tidak langsung mengehadkan kebebasan masyarakat umum.
Disebabkan wabak yang masih belum dapat dibendung inilah juga rakyat merasakan tidak wajar ada mana-mana pihak cuba menukar kerajaan kerana bimbang ia boleh menjejaskan usaha melawan Covid-19, kata pensyarah undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Rakyat tak gembira bila timbul keadaan yang boleh jejaskan usaha pemulihan Covid-19…(terdapat juga) ramai pihak nak menyeret kita adakan pilihan raya segera dan akibatnya ahli politik mungkin boleh bincangkan.
“Selepas pandemik Covid-19 selesai, kita mungkin berhadapan dengan suasana (akur) diperintah oleh kerajaan,” katanya, dalam sebuah forum dalam talian anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) hari ini.
Forum itu bertajuk Demokrasi Malaysia Pasca Pandemik Covid-19: Cabaran dan Harapan.
Selain Faridah, forum itu disertai dua senator Liew Chin Tong dari DAP dan Aiman Atihrah dari Amanah, serta Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dari PKR.
IDE ialah sebuah badan pemikir di bawah kerajaan Selangor.

Menurut Liew, Malaysia masih terbelenggu dengan corak pentadbiran yang belum dapat melibatkan badan masyarakat dan rakyat dengan menyeluruh.
“Sebelum 9 Mei (PRU14), rakyat takut tukar kerajaan kerana mungkin takut keadaan kecoh, tapi selepas 2018 rakyat rasa kalau dia tak suka dia boleh kritik dan tukar kerajaan.
“Hari ini hari lahir Umno (11 Mei). Kita beralih dari model Umno kepada model baru yang kita masih mencari.
“Sejak dua tahun lalu, rakyat, NGO, dan media belum dapat satu model kita semua boleh terlibat dalam pembentukan demokrasi,” kata bekas timbalan menteri pertahanan itu.
Sehubungan itu katanya, rakyat Malaysia seluruhnya perlu bergabung tenaga untuk benar-benar menyertai sistem demokrasi, dan bukan hanya setakat mengundi.
“Kita perlu gabungkan tenaga masyarakat supaya NGO dan rakyat, mereka tak rasa mereka penonton tapi sertai demokrasi untuk elakkan kleptokrat kembali,” katanya, merujuk kepada pentadbiran Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak.
Sementara itu, Noor Amin berkata, pertukaran kerajaan yang berlaku ketika peringkat awal penularan Covid-19 menjadikan tahap kepercayaan rakyat kepada ahli politik sangat rendah.
“Apabila berlaku peralihan kuasa, isu keyakinan awam kepada orang politik berada di tahap rendah, mereka (ahli politik) ada tanggungjawab moral menjelaskan kenapa berlakunya (peralihan kuasa),” katanya, merujuk pada peralihan dari Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional pada awal Mac.
Beliau turut menjangkakan aspek dan nilai demokrasi tidak akan banyak berubah, namun ia akan diterjemahkan dalam bentuk baharu.
“Yang baharu ialah bentuknya, bagaimana semak imbang dibuat, bagaimana kebebasan dan kuasa diimbangi… itu mungkin bentuk baru,” katanya, lagi.
Aiman Athirah pula berkata, suasana susulan perubahan kerajaan tanpa pilihan raya dan penggantungan sidang Parlimen menimbulkan persoalan keabsahan kerajaan Perikatan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Rakyat terpinga-pinga dengan persoalan apa sedang berlaku, rakyat tak faham. Situasi ini tidak pernah berlaku dan jarang berlaku di mana mana negara demokrasi… kuasa boleh berubah sewenang wenangnya.
“Kita akan tersangkut dalam isu keabsahan kerajaan,” katanya.
Menjawab persoalan itu, Faridah bagaimanapun menjelaskan kerajaan Perikatan hari ini melalui proses pelantikan yang sah berlandaskan peruntukan Perlembagaan dan tidak seharusnya dipertikaikan keabsahannya.
“Sah dari sudut undang-undang tetapi dari perspektif politik dan setengah rakyat meragui keabsahannya,” katanya. – 11 Mei, 2020.
Komen