BERSATU menangguhkan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang pada awalnya dijadual hari ini kerana melanggar undang-undang, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.
Haniff menulis pandangan undang-undang di Facebook mengenai kedudukan mesyuarat itu dari segi perlembagaan parti, yang turut beliau kongsikan dengan beberapa ahli MPT.
“Tidak lama selepas (berkongsi tulisan) itu, Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahaya hantar notis pada 7.15 malam pada Ahad, mengatakan mesyuarat tak jadi,” kata Haniff kepada The Malaysian Insight.
“Saya tidak boleh sahkan kenapa mesyuarat hari ini batal tetapi saya syak mungkin kerana hantaran saya (di Facebook).”
Haniff adalah peguam yang mewakili Bersatu semasa pendaftaran parti yang diluluskan pada 2017. Beliau juga terlibat menggubal perlembagaan parti.
Menurut Haniff, masa dan cara mesyuarat itu dipanggil menimbulkan tanda tanya.
“Mereka hantar notis pada petang Ahad mengatakan mesyuarat MPT pada Isnin.
“Macam mana ahli MPT boleh hadir dengan notis yang singkat semasa tempoh kawalan pergerakan yang melarang perjalanan antara negeri?” tanyanya.
“Apa yang lebih meragukan ialah tiada agenda dinyatakan ada notis mesyuarat,” tambahnya.
Cara pengendalian urusan mesyuarat itu juga mencetuskan spekulasi Bersatu merancang memecat Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir.
“Walaupun desas desusnya sudah ada sejak minggu lepas, cara mesyuarat itu dipanggil menunjukkan kemungkinannya.
“Apalagi mesyuarat itu diatur di Pertubuhan Alumni UM di Kuala Lumpur, dan bukan di ibu pejabat parti di Yayasan Selangor.”
Laporan media semalam menyebut notis memanggil mesyuarat tidak ditujukan kepada Dr Mahathir dan Mukhriz.
Dalam hantarannya di Facebook, Haniff berkata mesyuarat itu boleh jadi tidak sah kerana mengikut perlembagaan parti mesyuarat MPT hanya boleh dipanggil oleh pengerusi.
“Mesyuarat MPT juga tidak sah kerana melanggar arahan bertulis pendaftar pertubuhan (ROS) pada 16 Mac yang menyatakan ‘... bahawa semua pertubuhan adalah dilarang daripada mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan,mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun 2020’.
“Maka Sekretariat Bersatu perlu buktikan perolehan kebenaran daripada ROS untuk mesyuarat (pada Isnin).”
Haniff juga berpendapat mesyuarat yang sepatutnya diadakan hari ini tidak sah kerana tidak melibatkan pengerusi dan timbalan presiden.
Beliau juga berpandangan MPT tidak boleh memecat Dr Mahathir dan Mukhriz kerana mereka tidak diberi peluang untuk membela diri dalam prosiding tindakan disiplin parti.
Dr Mahathri dan Mukhriz kini menentang Presiden Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri.
Dr Mahathir adalah calon tunggal bagi jawatan pengerusi dalam pemilihan parti, sementara Mukhriz mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden.
Bekas perdana menteri juga sudah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat.
Dr Mahathir, Mukhriz dan Muhyiddin adalah antara pengasas parti.
Dr Mahathir dan Mukhriz membantah keputusan Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan baharu bersama Umno dan PAS, dan disokong komponen Barisan Nasional (BN) serta parti dari Sabah dan Sarawak.
Pemilihan Bersatu kini ditangguhkan sehingga 30 Jun kerana penularan Covid dan sekatan membendung penularannya. – 11 Mei, 2020.
Komen