MENTERI Kesihatan Dr Adham Baba menolak dakwaan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang mengaitkan syarikatnya dengan kontrak diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Saya dengan tegas menyatakan ia tiada kaitan dengan Khazanah Jaya atau kaitan (kaitan dengan) mereka.
“Semua itu adalah pembohongan dan tohmahan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
C4 hari ini menggesa menteri itu memberi penjelasan sama ada beliau terlibat dalam skandal perolehan bernilai RM30 juta yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM sedang menyiasat lima syarikat yang dilantik secara langsung oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membekalkan peralatan ujian berkaitan Covid-19.
Dilaporkan pada 5 Mei, lima kontraktor dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan melibatkan kontrak yang dipercayai bernilai sekurang-kurangnya RM30 juta.
Kontrak tersebut merangkumi pembelian alat ujian Covid-19, peralatan pelindung diri dan topeng muka.
Siasatan itu dibuat selepas bekas ahli Parlimen Wee Choo Kiong mendakwa sebuah syarikat yang menerima kontrak membayar “wang pendahuluan yang banyak” dan tidak memenuhi syarat.
C4 berkata, carian di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan terdapat hubung kait antara pemegang saham dengan syarikat yang menawarkan kontrak dengan syarikat lain yang mempunyai saham di klinik swasta milik Adham, Klinik Adham.
Adham sebelum itu mengeluarkan kenyataan bahawa kementerian akan bekerjasama dengan SPRM. – 11 Mei, 2020.
Komen