Tiada kes Covid-19 berpunca daripada daging ayam, kata KP Kesihatan


Bede Hong

Wujud kebimbangan awam akan berlaku jangkitan Covid-19 berpunca daripada daging ayam dan makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020.

BELUM ada kes jangkitan Covid-19 berasal daripada makanan termasuklah daging ayam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Wujud kebimbangan awam berkenaan isu itu tetapi kalaupun ada virus pada makanan, ia akan dibunuh ketika dimasak pada suhu tinggi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan awam apabila sebuah kilang pembekal daging ayam diarah tutup awal bulan ini kerana meledaknya wabak Covid-19 dalam kalangan pekerjanya. 

Kementerian Kesihatan pada 2 Mei lepas mengarahkan kilang di Pedas, Negeri Sembilan itu ditutup selepas 60 orang di situ disahkan positif Covid-19.

Noor Hisham menjelaskan yang KKM masih menunggu laporan Jabatan Veterinar sama ada ada daging ayam yang dijangkiti.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa meletakkan daging ayam di bawah bahang matahari akan membunuh virus, sebaliknya berkata memasak daging ayam sudah mencukupi.

Sementara itu, beliau menggesa majikan memastikan keadaan persekitaran pekerjaan dan kediaman pekerja mereka bersih dan mematuhi penjarakan sosial.

“Jika kita tengok kluster terlibat, ramai pekerja asing didapati tinggal dalam tempat sempit,” katanya, menambah yang majikan perlu memastikan mereka mematuhi arahan kesihatan 3C iaitu tempat sempit, tempat sesak dan bersentuhan sesama pekerja.

“Kami harap garis panduan baharu ini boleh diamalkan majikan dan individu, jika mereka amalkan budaya ini, InsyaAllah kita dapat putuskan rantaian jangkitan,” tambahnya. – 11 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen