ENAM belas orang dari sebuah keluarga di Bahrain dijangkiti Covid-19 selepas berbuka puasa bersama, yang disertai seorang ahli keluarga yang sudah dijangkiti, lapor Gulf News.
Kementerian Kesihatan Bahrain berkata ahli keluarga itu dijangkiti Covid-19 kerana tidak mematuhi langkah pencegahan, antaranya mengelak kegiatan berkumpulan, pakai pelitup muka, dan menjaga jarak antara satu sama lain.
Mereka yang dijangkiti termasuk kanak-kanak, kata laporan itu.
“Semua orang bertanggungjawab untuk patuh garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi mengelak virus ini tersebar,” kata kementerian itu, dalam laporan tersebut.
Sehingga semalam, Bahrain mengesan 4,774 kes positif Covid-19, dengan 2,055 sudah sembuh dan lapan meninggal dunia.
Minggu lalu, Bahrain melonggarkan sekatan pergerakan dan membenarkan perniagaan dibuka semula ketika kes jangkitan Covid-19 semakin berkurangan. – 11 Mei, 2020.
Komen