IBU bapa mungkin dilarang membawa anak-anak mereka ke pusat membeli-belah jika mereka enggan mengutamakan keselamatan, kata Menteri Senior Ismail Sabri hari ini.
Menteri Pertahanan memberitahu wartawan di Putrajaya bahawa setakat ini, tidak ada larangan terhadap ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke pusat membeli-belah.
“Masih ada yang membawa anak kecil ke pusat membeli-belah tetapi saya harap keselamatan anak perlulah kita jaga.
“Walaupun kita ada kebebasan masih tidak ada sekatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa, tetapi tanggungjawab untuk menjaga kepentingan anak kita adalah tanggungjawab kita sendiri.
“Bagaimanapun, kami mungkin mengenakan sekatan (tidak membawa anak-anak ke pusat membeli-belah) jika ibu bapa enggan mengutamakan keselamatan anak-anak mereka. Kami akan meneliti perkara ini,” kata Ismail semasa sidang media hariannya.
Untuk perjalanan rentas negeri pula katanya ia hanya dibenarkan untuk hal kecemasan.
Orang ramai mesti mempunyai alasan yang sah untuk melakukan perjalanan dan perlu mendapatkan persetujuan polis, katanya.
“Tempoh perjalanan rentas negeri sudah berakhir. Pergerakan rentas sempadan negeri tidak lagi dibenarkan.
“Namun jika ada kecemasan seperti upacara pengebumian, orang ramai boleh dapatkan kebenaran polis. Hanya dengan kebenaran ini baru boleh lakukan perjalanan antara negeri,” katanya.
Mereka yang terkandas di kampung halaman sejak perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 Mac dibenarkan pulang ke tempat tinggal merek dan bekerja dari 7 Mei hingga semalam dengan syarat berdaftar dengan aplikasi Gerak Malaysia.
Aplikasi itu menyaksikan 1.2 juta muat turun dengan 462,505 permohonan direkodkan. – 11 Mei, 2020.
Komen