Diskaun tertera pada bil akan datang, kata syarikat bekalan air Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mengumumkan diskaun bil air bagi mengurangkan beban mangsa banjir yang menggunakan banyak air untuk membesihkan rumah mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2017.

DISKAUN penggunaan air selepas banjir kilat di Pulau Pinang awal bulan ini akan tertera pada bil mulai bulan hadapan, kata syarikat bekalan air negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Ir. Jaseni Maidinsa berkata diskaun bagi penggunaan air bagi bulan ini tidak akan dilihat pada bil air semasa yang dikeluarkan pembaca meter pada masa itu juga.

Beliau berkata, diskaun akan dapat dilihat dalam bil-bil air pada bulan-bulan akan datang kerana sistem IT PBAPP perlu membuat kiraan diskaun bagi setiap pengguna individu.

“PBAPP perlu mengira penggunaan setiap pengguna individu sebelum mendapatkan jumlah yang betul untuk diberikan diskaun.

“Sila ambil perhatian bahawa kitaran bil untuk pelbagai kumpulan dan kategori pengguna air di Pulau Pinang adalah berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdapat 589,797 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang.

Diskaun dilihat dalam bil-bil air Pulau Pinang bertarikh Januari hingga Mac 2018.

Kitaran bil bagi pengguna domestik adalah sekali setiap dua bulan, manakala untuk perdagangan mungkin pada setiap bulan atau dua bulan sekali.

Selain itu, meter air kumpulan pengguna yang berlainan yang terletak di pelbagai kawasan di Pulau Pinang dibaca oleh pembaca meter air PBAPP pada masa yang berbeza.

Oleh itu, pengguna yang berbeza menerima bil air mereka pada masa yang berbeza.

Sebagai sebahagian daripada program “Pulau Pinang Bangkit” untuk membantu rakyat negeri itu pulih daripada banjir terburuk dalam 3O tahun itu, PBAPP mengumumkan diskaun bil air bagi mengurangkan beban mangsa banjir yang menggunakan banyak air untuk membesihkan rumah mereka.

Semua pengguna domestik diberi diskaun 50%, manakal pengguna komersil menerima diskaun sebannyak 25% untuk satu kitaran.

PBAPP juga mengecualikan surjac pemuliharaan air untuk satu kitaran bagi pengguna domestik.

Jaseni juga berkata diskaun bil air “Pulau Pinang Bangkit” PBAPP akan dijana secara automatik dan dicetak pada bil air PBAPP. 

“Orang ramai tidak perlu memohon diskaun,” katanya. – 25 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen