Pandemik Covid-19 beri kekuatan pada Umno, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Umno yang menyambut ulang tahun ke-74 hari ini berdepan cabaran mengekalkan momentum dalam percaturan politik menuju PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020

PENGANALISIS melihat pandemik Covid-19 memberi kekuatan baharu dan menyegarkan pengaruh Umno selepas parti itu kembali menguasai Putrajaya melalui Langkah Sheraton.

Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata ia berbeza dengan keadaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan pemimpin Umno seakan-akan hilang arah.

Malah, parti itu kini seakan-akan mendominasi kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, katanya.

“Kini Umno seolah-olah mendapat nyawa politik baharu untuk bangkit dan memulihkan semula parti tersebut yang terjejas teruk akibat politik persepsi dan pelbagai dakwaan dan kes di mahkamah,” katanya.

Tindakan Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri ketujuh Februari lalu juga menjadi pemangkin, yang seterusnya menyebabkan rakyat berasa muak kepada perkembangan politik, katanya.

“… Ini membuka ruang kepada Umno untuk kembali kepada persada politik arus perdana dengan pengalaman dan kelicikan berpolitik,” kata pensyarah itu.

Situasi semasa berkaitan Covid-19 pula memberi kelebihan kepada Umno untuk menyusun gerakan mengatur kedudukan politik mereka dan jawatan strategik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jelasnya, pandemik itu menyebabkan rakyat lebih mengutamakan tekanan ekonomi dan melihat kepada kerajaan sebagai penyelamat, dan memberi peluang kepada Umno untuk mengukuhkan kedudukan.

“Wabak Covid-19 yang menyebabkan keresahan terhadap isu ekonomi rakyat lebih diutamakan dan ini menjadikan rakyat sudah kurang kisah atau peduli hala tuju politik negara.

“Wabak Covid-19 memberikan Umno masa dan peluang untuk terus menguatkan kedudukan politik dan pengaruh, iaitu melalui lantikan dalam Kabinet, lantikan pengerusi GLC dan sebagainya,” katanya.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata tempoh 24 bulan menjadi pembangkang mendewasakan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020.

Seterusnya, penyertaan Umno dalam kerajaan persekutuan memberi nafas baharu kepada parti itu untuk bergerak dan menyaingi dan menguasai Bersatu.

“Mereka lebih membuat tuntutan, mendominasi dan berdaya saing dalam perebutan jawatan dan mulai mengambil tempat dan kedudukan dan mampu menyaingi parti Bersatu,” katanya.

Oleh itu, cabaran Umno yang menyambut ulang tahun ke-74 hari ini adalah mengekalkan momentum tersebut untuk memberikan dominasi yang lebih besar dalam percaturan politik menuju PRU15.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan memberitahu The Malaysian Insight, tempoh 24 bulan dialami Umno sebagai pembangkang mendewasakan parti itu.

Malah, kemenangan beberapa siri pilihan raya kecil juga mampu membuktikan parti itu bukan calang-calang.

Katanya, ahli tidak berputus asa untuk mempertahankan parti walau Umno dianggap di hujung nyawa dan ini membolehkannya dilihat sebagai pembangkang berwibawa.

Ia juga membolehkan Umno menang banyak pilihan raya kecil sebelum menubuhkan kerajaan baharu apabila kerajaan PH tumbang.

“Jadi bagi saya imej konon Umno ini pencuri dan sebagainya adalah suara-suara sumbang dari lawan kita akan yang sentiasa cuba mencemarkan nama parti.

“Bagi mereka, sebab tak boleh lawan dasar Umno, rangkaian akar umbi Umno, momentum Umno sekarang.

“Maka apa yang tinggal hanyalah tohmahan terhadap institusi dan menghina lebih 3 juta ahli Umno yang kekal teguh dengan jati diri masing-masing,” kata Shahril lagi.

Umno kini menguasai 28% jawatan Kabinet yang majoritinya dikawal Bersatu dengan 34% jawatan.

Kalangan ahli Parlimen parti itu juga banyak dilantik menguasai GLC dan badan berkanun, terbaru melibatkan lantikan ahli Parlimen Besut Idris Jusoh sebagai pengerusi Felda. – 11 Mei, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen