SALAH satu rangkaian kereta api terbesar di dunia akan secara beransur-ansur memulakan semula operasi pada Selasa ketika India melonggarkan perintah pengurungan koronavirusnya, yang jumlah kesnya kini melepasi angka 60,000 dengan lebih 2,000 kematian.
Sebanyak 30 perjalanan kereta api - 15 perjalanan pergi balik - akan beroperasi dari New Delhi ke bandar lain termasuk Mumbai, Bangalore dan Chennai, kata Indian Railways pada lewat malam Ahad.
“Indian Railways merancang memulakan operasi keretapi penumpang secara beransur-ansur mulai 12 Mei 2020 ... Selepas itu, Indian Railways akan memulakan lebih banyak perkhidmatan khas di laluan baharu,” tambah kementerian kereta api dalam satu kenyataan.
“Wajib bagi penumpang memakai pelindung muka dan menjalani pemeriksaan semasa berlepas dan hanya penumpang tanpa gejala sahaja akan dibenarkan menaiki kereta api.”
Rangkaian kereta api yang luas dengan lebih 20 juta penumpang setiap hari, dihentikan pada akhir Mac ketika India melaksanakan perintah pengurungan ketat untuk membendung penyebaran koronavirus yang membawa maut.
Kereta api untuk pendatang
Sejak awal Mei, kerajaan berkata kira-kira 366 kereta api khas yang membawa sehingga 1,200 penumpang setiap kali beroperasi adalah untuk membantu pekerja migran di kampung miskin yang terkandas dan hilang kerja di bandar ketika perintah pengurungan, pulang ke kampung.
Menteri Hal Ehwal Perkhidmatan Kereta Api Piyush Goyal pada Ahad menulis di Twitter, hampir 300 kereta api khas untuk pendatang dibenarkan beroperasi setiap hari.
“Saya merayu kepada semua negeri untuk memberikan izin untuk memindahkan dan membawa pulang migran mereka yang terkandas sehingga kita dapat membawa mereka semua pulang ke kampung dalam 3-4 hari akan datang,” tambahnya.
Media tempatan melaporkan beberapa wilayah mengenakan bayaran bagi tiket kereta api, yang tidak mampu dibeli oleh kebanyakan pendatang.
Sesetengah pekerja terpaksa berjalan kaki pulang sejauh ratusan batu, dengan puluhan orang mati ketika dalam perjalanan kerana keletihan atau kemalangan, kata laporan.
Kementerian kereta api menambah 20,000 gerabak disimpan untuk dijadikan sebagi wad koronavirus.
Lebih 5,150 kereta api berada di 215 stesen beberapa bandar utama untuk digunakan sebagai wad pengasingan koronavirus bergerak.
India mula melonggarkan perintah pengurungannya, yang dijadualkan akan dihentikan pada 17 Mei, tetapi pengangkutan awam antara negeri dan penerbangan domestik serta antarabangsa setakat ini masih tetap digantung.
Pihak berkuasa pada Ahad melaporkan 62,939 kes Covid-19 dan 2,109 kematian, dengan beberapa hari kebelakangan ini mencatatkan peningkatan.
Walaupun jumlah kematian rendah berbanding Amerika Syarikat dan negara Eropah yang paling teruk terjejas, pakar kesihatan berkata lengkungan pandemik India akan meningkat pada Jun-Julai. – AFP, 11 Mei, 2020.
Komen