Malaysia perlu tubuh kerajaan perpaduan tangani krisis pandemik, kata pakar


Sheridan Mahavera

Malaysia setakat ini mencatatkan 108 kematian daripada keseluruhan lebih 6,500 kes jangkitan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Mei, 2020.

MALAYSIA memerlukan kerajaan perpaduan bagi menangani krisis koronavirus ketika pertembungan dua blok utama politik kembali hangat, kata pakar.

Pakar kesihatan awam dan pakar ekonomi berkata sebuah kerajaan perpaduan dapat memanfaatkan golongan yang terbaik di negara ini dan menjalin usaha yang amat diperlukan seluruh masyarakat untuk memerangi wabak itu.

Ia juga akan mengatasi masalah kepercayaan dalam kalangan majoriti rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional menggantikan kerajaan Pakatan Harapan ekoran krisis politik pada hujung Februari lalu.

“Ini yang amat diperlukan pada ketika ini. Jadi kita perlu mengenepikan perbezaan politik dan menangani cabaran besar dengan memanfaatkan keupayaan yang ada di luar sana,” kata pakar ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram.

Jomo berkata ada cara untuk mengatur semula kerajaan bagi memanfaatkan bakat yang ada di Malaysia dalam mencari dasar yang paling efektif duntuk mengawal virus yang setakat ini membunuh 108 nyawa.

“Kita mempunyai keupayaan di Malaysia dan kita perlu memanfaatkannya,” kata Jomo yang merupakan penasihat kanan Institut Kajian Khazanah Research (KRI).

“Kita perlu menukar cara kita mengendalikan sesuatu perkara,” katanya dalam forum yang diadakan secara maya bertajuk ‘Covid 19 vs Malaysia: The new normal and the path to recovery’.

Forum itu dianjurkan oleh Yayasan Diplomasi Kesihatan Malaysia.

Saranan Jomo itu disuarakan ketika virus tersebut sudah menjangkiti 6,656 orang di Malaysia setakat 10 Mei.

Krisis kesihatan ini juga berlaku ketika kerajaan Perikatan Nasional berdepan tekanan politik menjelang sidang Parlimen pada 18 Mei ini.

Sejak mengambil-alih kuasa pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan dakwaan bahawa beliau tidak memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat. – 10 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen