SERAMAI 10 orang ditahan dan seorang anggota polis cedera dalam tunjuk perasaan membantah perintah pengurungan oleh kerajaan bagi membendung Covid-19.
Penunjuk perasaan mendakwa virus itu merupakan konspirasi yang diatur kerajaan bagi mengawal populasi.
Kira-kira 150 orang berarak di luar bangunan Parlimen di Victoria bagi membantah perintah pengurungan itu.
Kebanyakan negeri dan wilayah di Australia mula melonggar perintah itu tetapi Victoria masih belum mengikut langkah sama susulan peningkatan kes di negeri itu.
Penunjuk perasaan turut membawa plakad bertulis ‘perjuangkan hak dan kebebasan anda’ dan mereka mendesak pengasas Microsoft, Bill Gates ditahan kerana terlibat dalam konspirasi itu.
Fano Panayides, 37, berkata beliau berasa skeptikal apabila kerajaan mengumumkan koronavirus sebagai pandemik dan percaya pihak berkuasa cuba menyembunyikan agenda mengawal populasi.
Jurucakap polis Victoria berkata seramai 10 orang ditahan dalam tunjuk perasaan itu atas kesalah melanggar perintah penjarakan sosial dan ingkar arahan kekal di rumah.
Katanya tiga pesalah juga didakwa menyerang seorang anggota polis manakal seorang lagi pesalah didakwa atas kesalahan melempar objek ke arah anggota polis.
Polis juga berusaha mengesan penunjuk perasaan yang hadir dalam bantahan itu dan mereka berdepan hukuman denda AUS$1,600 kerana ingkar perintah pengurungan.
Australia mencatatkan kira-kira 7,000 kes Covid-19 dan kurang 100 korban akibat virus itu. – AFP, 10 Mei, 2020.
Komen