Covid-19: Kes kluster kelab Itaewon meningkat kepada 54


Seorang penduduk memakai topeng muka melintasi kelab malam di Itaewon yang ditutup selepas terdapat kes jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan. – Gambar AFP, 10 Mei, 2020.

KES jangkitan Covid-19 membabitkan kluster kelab dan bar di daerah Itaewon, Seoul meningkat kepada 54 orang, kata seorang pegawai pada Ahad, lapor agensi berita Yonhap.

Peningkatan kes itu mencetuskan kebimbangan keadaan tidak dapat dikawal yang boleh menyebabkan penularan ke seluruh negara.

Sebelum ini, Korea Selatan dikatakan sudah dapat membendung penularan wabak dengan tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. 

Kes di Itaewon bermula apabila seorang lelaki berusia 29 tahun didapati positif Covid-19 pada 6 Mei selepas mengunjungi lima kelab hiburan antara 1 dan 2 Mei.

Lebih 1,500 orang dipercayai mengunjungi kelab dan bar itu pada hari berkenaan. 

Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) Jeong Eun-kyeong berkata siasatan sedang dijalankan ke atas mereka yang mempunyai kontak dengan 54 pesakit itu.

Jangkitan kluster itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda penularan. 

Daripada 54 kes berkenaan sebanyak 30 kes dilaporkan di Seoul, 14 di wilayah Gyeonggi, enam di Incheon, dua di wilayah Chungcheong Utara dan masing-masing satu di tenggara Busan dan selatan pulau Jeju.

Terdahulu, KCDC melaporkan 34 kes baharu dicatatkan pada Sabtu, lonjakan tertinggi dalam tempoh sehari sejak 9 April.

Kluster Itaewon itu  menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 10,874 manakala angka korban kekal 256 orang. 

Sehubungan itu, Datuk Bandar Seoul Won-soon mengeluarkan perintah pentadbiran untuk menutup operasi di kelab, bar dan tempat hiburan di bandar raya berkenaan.

Minggu lalu, Korea Selatan mula membenarkan orang ramai menjalankan kegiatan luar termasuk aktiviti sukan profesional tanpa kehadiran penonton dan upacara keagamaan. – Bernama, 10 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen