Malaysia catat 67 kes baharu Covid-19


Malaysia kini mencatatkan keseluruhan kes jangkitan Covid-19 sebanyak 6,656 kes manakala jumlah kes pulih 5,025 atau 75.5%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2020.

KES pulih Covid-19 terus mengatasi kes jangkitan baharu apabila 96 pesakit dibenarkan pulang selepas sembuh virus itu berbanding 67 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada keseluruhan kes baharu hari ini, 49 kes melibatkan warga asing dan tiada kes import direkodkan.

Kini keseluruhan kes jangkitan adalah sebanyak 6,656 manakala jumlah kes pulih 5,025 atau 75.5%.

Dr Noor Hisham berkata angka kematian kekal 108 orang setakat ini memandangkan tiada korban baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

“Jumlah keseluruhan kes di Unit Rawatan Rapi adalah seramai 18 orang dengan enam orang memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun.

Lanjutan itu akan merangkumi dua perayaan besar rakyat Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei dan Hari Gawai pada 1 Jun.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun. Demi keselamatan semua, pergerakan rentas negeri untuk hari raya, tidak dibenarkan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen. – 10 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen