TEMPOH rayuan untuk bayaran Bantuan Prihatin Nasional dilanjutkan sehingga 31 Mei ekoran banyak rungutan berhubung permohonan yang ditolak, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, pemohon boleh merayu melalui emel atau hadir sendiri ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu bermula esok untuk mengemukakan rayuan.
Aduan itu antara lain melibatkan kes permohonan ditolak kerana memiliki syarikat dan pemohon yang masih disenarai oleh LHDN sebagai pekerja meraih gaji tinggi.
“Ada juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan. Tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.
“Mengambil kira semua perkara ini, menteri kewangan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei,” katanya.
Pemohon yang memiliki syarikat itu bermasalah kerana mereka perlu memohon bantuan melalui Geran Khas Prihatin sebagai pengusaha perniagaan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan.
Bagaimanapun, perniagaan itu disyaratkan perlu kekal aktif.
“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insya-Allah boleh diluluskan,” kata Muhyiddin.
Tambahnya, pemohon untuk kategori bujang tidak layak sekiranya sudah menerima permohonan untuk status pelajar, katanya.
Beliau juga memaklumkan, sebanyak 2.3 juta permohonan BPN diluluskan melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion.
“Dengan kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 bilion,” katanya.
BPN merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin berjumlah RM260 bilion sebagai penampan kepada kesan wabak Covid-19.
Tempoh permohonan baharu dan rayuan untuk BPN ditetapkan selama sebulan sehingga 30 April lalu. – 10 Mei, 2020.
Komen