PKPB sambung sampai 9 Jun, umum Perdana Menteri


Anggota tentera memasang pagar berduri di sekitar kawasan Petaling Jaya OldTown bagi mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2020.

PERINTAH kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dengan segala peraturan dan syarat sedia ada kekal.

Lanjutan itu akan merangkumi tiga perayaan besar rakyat Malaysia – Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei, Hari Gawai pada 1 Jun dan Pesta Kaamatan yang lazim disambut sepanjang Mei.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun. Demi keselamatan semua, pergerakan rentas negeri untuk hari raya, tidak dibenarkan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Oleh itu, ia hanya boleh disambut bersama keluarga dan jiran terdekat dalam negeri sama dan perhimpunan tidak boleh melebihi 20 orang dengan mematuhi prosedur kesihatan, katanya.

PKPB pada asalnya dikuatkuasa sejak 4 hingga 12 Mei dengan memberi kelonggaran kepada lebih banyak sektor perindustrian dan sosial untuk beroperasi.

Bagaimanapun, pergerakan rentas negeri masih dilarang dan sempadan negara juga masih ditutup, kecuali bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Kelonggaran bagaimanapun akan diberikan kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja.

“Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang sudah tidak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.

“Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga,” katanya.

Muhyiddin berkata keputusan untuk melanjutkan PKPB ini dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan dan juga Majlis Keselamatan Negara.

Terdahulu beliau mengumumkan 94.4% daripada keseluruhan 1,178 mukim, bahagian, zon, subzon dan presint di seluruh negara kini dalam kategori hijau – tanpa sebarang kes Covid-19 dalam masa 14 hari.

Empat kawasan yang masih dalam zon merah kini mukim Batu di Gombak,  zon Batu dan Kampong Bharu di Kuala Lumpur dan mukim Pedas di Negeri Sembilan.

Tiga kawasan masih diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat – sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Bandar Utara dan Selayang Baru dan juga sekitar pasar Jalan Othman, Petaling Jaya. – 10 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen