Sweden akui gagal lindungi warga tua di pusat jagaan


Seorang warga tua duduk di luar rumah jagaan di Stockholm, Sweden pada 4 Mei ketika wabak Covid-19 melanda negara itu. – Gambar AFP, 9 Mei 2020.

IBU kepada Bjorn Branngard meninggal dunia di rumah jagaan Stockholm, yang lima daripada lapan orang di bahagiannya dan lebih satu pertiga penghuninya meninggal dunia akibat koronavirus.

“Mereka tidak mempunyai masa untuk menjaga ibu saya,” katanya kepada AFP.

Ujian koronavirusnya didapati negatif selepas dua hari meninggal dunia, tetapi Branngard, yang mendakwa meninggal dunia kerana kecuaian, berkata kakitangan rumah jagaan itu tidak mempunyai alat pelindung dan menyebarkan virus kepada penghuni di situ.

Sweden, yang pendekatannya yang lebih longgar terhadap koronavirus menarik perhatian antarabangsa, mengakui gagal melindungi warga tua secukupnya, dengan kira-kira separuh kematian Covid-19 melibatkan penghuni rumah jagaan.

Laporan mengenai kakitangan rumah jagaan terus bekerja walaupun kekurangan alat pelindung, memenuhi media media Sweden beberapa minggu kebelakangan ini,.

Yang lain enggan bekerja dan pekerja disaran tinggal di rumah walaupun mengalami gejala ringan, menyebabkan rumah jagaan kekurangan pekerja.

Kakitangan lain mengaku akan bekerja walaupun menunjukkan gejala virus, berpotensi menjangkiti penghuni, sementara beberapa warga tua dilaporkan dijangkiti ketika dimasukkan ke hospital untuk rawatan lain dan kemudian dihantar kembali ke rumah jagaan yang kemudiannya secara tidak sengaja menyebarkan penyakit ini.

Sweden melaporkan 3,220 kematian akibat virus tersebut pada Sabtu.

Negara itu berkata sejak awal bahawa melindungi rakyat berusia 70 tahun ke atas menjadi keutamaannya.

Namun 90% yang meninggal pada 28 April berusia lebih 70 tahun. Separuh daripadanya adalah penghuni rumah jagaan, dan seperempat lagi mendapat rawatan di rumah, menurut statistik dari Lembaga Kesihatan dan Kesejahteraan Sweden.

“Kita gagal melindungi warga tua kami. Itu benar-benar serius, dan kegagalan bagi masyarakat secara keseluruhan. Kita harus belajar darinya, kita belum selesai dengan wabak ini,” kata Menteri Hal Ehwal Kesihatan dan Sosial Lena Hallengren kepada Swedish Television baru-baru ini.

Kakitangan sebar virus

Tidak seperti kebanyakan negara Eropah lain, Sweden tetap membuka sekolah rendahnya serta bar dan restoran, sambil menggesa orang ramai menghormati saranan penjarakan sosial dan kebersihan.

Namun, ia melarang lawatan ke rumah jagaan pada 31 Mac.

Bagaimanapun, tetapi tidak seperti di negara tersebut, rumah jagaan Sweden kebiasanya adalah kompleks besar dengan ratusan penghuni.

Ia hanya untuk mereka yang mempunyai keadaan kesihatan yang sangat buruk dan tidak dapat mengurus diri sendiri.

Justeru, penghuninya adalah “kumpulan yang sangat terdedah”, menurut Henrik Lysell dari Lembaga Kesihatan dan Kesejahteraan.

Bjorn Branngard memberitahu AFP kakitangan di rumah jagaan dihuni ibunya tidak mempunyai alat pelindung sesuai.

“Tiada perlindungan. Kakitangan pergi ke pelbagai bahagian dan menyebarkan virus.”

Di Stockholm, pusat penyebaran virus Sweden, 55% rumah jagaan setakat ini mengesahkan kes Covid-19, menurut pihak berkuasa Wilayah Stockholm.

Keadaan kerja yang buruk

Kommunal, kesatuan pekerja perbandaran terbesar di Sweden yang dianggotai ramai pekerja penjagaan, berkata situasi kerja tidak menentu menjadi punca tragedi.

Ia berkata pada Mac, 40% kakitangan di rumah jagaan Stockholm terdiri daripada pekerja tidak mahir dengan kontrak jangka pendek, dibayar gaji mengikut jam dan tanpa jaminan pekerjaan, sementara 23% adalah pekerja sementara.

Dengan kata lain: mereka tidak boleh bercuti walaupun sakit.

“Ramai yang bekerja di beberapa rumah jagaan, dan itu juga menyebabkan penyebaran lebih besar,” kata ketua bahagian rumah jagaan Kommunal, Ulf Bjerregaard.

Pada akhir April, Kommunal memfailkan aduan kepada Pihak Berkuasa Persekitaran Kerja Sweden, dengan mendakwa 27 daripada 96 penghuni di rumah di tempat ibu Branngard tinggal meninggal dunia akibat virus tersebut, namun kakitangan tidak diberikan alat pelindung atau ditawarkan menjalani ujian.

Pihak berkuasa sedang mengkaji aduan itu, dan pendakwa raya memulakan penyiasatan.

Abdullah (bukan nama sebenar), seorang pelarian berusia 21 tahun, bekerja sebagai pembantu di rumah jagaan di luar Stockholm selama dua tahun.

Beliau memberitahu AFP mengenai seorang penduduk yang dirawat di hospital kerana patah kaki.

“Beliau diuji negatif virus ketika bersama kami. Bagaimanapun, selepas kembali dari hospital tiga hari kemudian, beliau didapati positif,” katanya.

“Kami memakai apron pelindung tetapi tiada topeng ketika kami menguruskannya,” katanya, sambil menambah sejak itu beliau enggan pergi bekerja.

Sementara itu, Badan Kesihatan Awam berkata usaha untuk memperbaiki rutin kebersihan asas di rumah jagaan membuahkan hasil.

“Stockholm sebenarnya mengalami penurunan ketara dalam kes (di rumah jagaan), yang positif,” kata pakar epidemiologi, Anders Tegnell kepada wartawan pada Khamis. – AFP, 10 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen