SEMUA bar dan kelab malam di Seoul diarahkan tutup atas kebimbangan tercetusnya gelombang kedua pandemik Covid-19 di Korea Selatan.
Arahan dikeluarkan datuk bandar Seoul susulan kluster baharu dikesan di Itaewon, bandar yang terkenal dengan bar dan kelab malam.
Lebih dua belas kes dikesan, dikaitkan dengan seorang lelaki berusia 29 tahun yang disahkan positif Covid-19, yang mengunjungi lima kelab dan bar di Itaewon minggu lepas.
Jabatan kesihatan memberi amaran peningkatan kes memandangkan seramai 7,200 orang dijangka telah mengunjungi kelima-lima premis yang disahkan.
“Kecuaian akan membawa kepada ledakan jumlah jangkitan,” kata Datuk Bandar Seoul Park Won-soon, sambil menambah arahan penutupan berkuatkuasa serta-merta.
Park juga menggesa mereka yang mengunjungi kelab malam dan bar terbabit tampil secara sukarela untuk menjalani ujian.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC), 17 daripada 28 kes Covid-19 yang dilaporkan di Korea Selatan semalam berkait kluster Itaewon.
Jangkitan kes Covid-19 di Korea Selatan naik selepas kerajaan mula melonggarkan peraturan penjarakan sosial Rabu lalu.
Ia antara negara paling teruk dilanda pandemik itu selain China dan terpaksa menguatkuasakan peraturan penjarakan sosial yang ketat sejak Mac lalu.
Sebanyak 34 kes baharu dilaporkan hari ini, angka harian tertinggi dalam sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu kini 10,874 kes. – AFP, 10 Mei, 2020.
Komen